Penyambungan semula perkhidmatan bas ke Taman Rejang akan dibincang

0

SIBU: Jawatankuasa pengurusan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak (SBTC) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan berhubung kemungkinan menyambung semula perkhidmatan bas ke Taman Rejang.

Pengerusi SBTC Lau King Seng berkata, pihaknya sedia maklum mengenai masalah yang dihadapi penduduk Taman Rejang berikutan penamatan perkhidmatan bas Lanang berkuat kuasa awal bulan ini.

Menurut beliau, langkah itu dibuat selepas mengambil kira kerugian yang ditanggung oleh syarikat setiap bulan berikutan kekurangan penumpang serta kos operasi tinggi yang terpaksa ditanggung oleh syarikat.

“Diharap kita dapat mencapai keputusan yang dapat menyelesaikan masalah semua pihak,” ujarnya ketika mengadakan dialog bersama ahli-ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang diketuai oleh Pengerusi DAP Wong Ho Leng, semalam.

Menurut Wong, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk Taman Rejang berikutan penamatan operasi bas Lanang ke taman terbabit, awal bulan ini.

Katanya, ramai penduduk masih bergantung kepada perkhidmatan bas terutama golongan tua dan suri rumah untuk pergi ke bandar.

Difahamkan, perkhidmatan bas ke taman ini telah beroperasi sejak lebih 30 tahun lepas.