Suspek ketiga culik gadis 15 tahun di Kuala Besut berjaya ditahan

0

BESUT: Seorang pemuda 23 tahun yang merupakan suspek ketiga kes culik gadis berumur 15 tahun di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut pada 12 Ogos lalu berjaya ditangkap pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata, suspek ditangkap ketika sedang tidur di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok, Semerak di Kelantan oleh polis pada kira-kira jam 10.30 pagi.

Katanya, suspek cuba melawan dengan menggunakan sebilah parang yang diletakkan di bawah bantal tetapi kecekapan anggota polis dapat memberkasnya selepas berlaku pergelutan.

“Suspek direman selama seminggu bermula semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini semalam.

Siasatan mendapati suspek adalah positif dadah dan pernah ditahan kerana terbabit dengan kes jenayah seksual, katanya. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.15 malam, 12 Ogos lepas, suspek bersama dua individu lain telah melarikan gadis berkenaan di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut dengan sebuah kereta Perodua Kancil.

Tindakan pantas bapa gadis berkenaan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis telah menemukan gadis berkenaan yang disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok, Pasir Putih, Kelantan.

Dua lelaki berumur 25 dan 17 tahun berjaya diberkas tetapi suspek ketiga telah melarikan diri terlebih dahulu sebelum polis sampai.

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata, polis percaya empat suspek (lakaran imej) dapat membantu polis menyelesaikan lima kes jenayah jalanan seperti samun dan ragut di sekitar daerah Besut sepanjang bulan Julai dan Ogos yang membabitkan nilai kehilangan barang berjumlah lebih RM20,000.

Katanya, individu yang dikenali melalui lakaran imej dipercayai berumur di bawah 30 tahun dan merupakan penduduk tempatan. — Bernama

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan segera kepada polis sekiranya kenal atau tahu di mana semua suspek dengan menghubungi IPD Besut di talian 09-6956200 atau mana-mana balai polis. — Bernama