Pengukuran tanah usaha berterusan: JTS

0

Pengukuran perimeter tanah NCR kawasan empat penghulu di Saratok dilakukan selepas raya

SARATOK: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Betong akan melaksanakan kerja pengukuran perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah inisiatif baru NCR bagi kawasan pentadbiran Penghulu Ali Bin, Penghulu Isa Geng, Penghulu Garan Chunggut dan Penghulu Amit @ Hamid Salleh, selepas Hari Raya nanti.

Penguasa JTS Betong Anthony Aboi berkata, pengukuran kesemua tanah NCR di daerah Saratok itu merupakan usaha berterusan kerajaan dan JTS meskipun tanpa pilihan raya.

“Adalah menjadi harapan kepada JTS agar penghulu, tuai-tuai rumah, ketua-ketua kampung dan pemilik-pemilik tanah NCR agar dapat memberi kerjasama kepada JTS semasa menjalankan kerja-kerja pengukuran perimeter kelak.

“Penduduk kawasan Saratok sepatutnya berasa amat beruntung kerana kawasan NCR yang mereka perjuangkan selama ini akhirnya diluluskan oleh kerajaan meskipun pada langkah pertama hanya disukat perimeter dan seterusnya diwartakan sebagai Rezab Guna Sama (Pertanian) Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri,” kata Anthony.

Pada langkah kedua kelak, ia akan disukat secara individu dan seterusnya dikeluarkan dengan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri, katanya.

“Sepertimana di kawasan Entebu/Selambong/Bajau, Saratok mereka boleh menarik nafas lega apabila kawasan NCR mereka telah diwartakan sebagai Rezab Guna Sama (Pertanian) Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan salinan warta tersebut telah disampaikan kepada tuai-tuai rumah di kawasan tersebut oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan baru-baru ini,” tambahnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Lapangan Inisiatif Baru bagi kawasan empat orang penghulu di kawasan Saratok, baru-baru ini. Majlis tersebut diadakan di Dewan Masyarakat Saratok.

“Komunikasi dua hala dari peringkat bawah seperti ini amat ditekankan agar masyarakat setempat mempunyai peluang untuk mengutarakan soalan pandangan dan pendapat mereka.

“Sebarang aduan dan permasalahan berhubung inisiatif baru NCR bolehlah disalurkan kepada saya atau pegawai-pegawai saya kerana Jabatan Tanah dan Survei sentiasa bekerjasama rapat dengan penghulu, ketua-ketua masyarakat bagi mencari jalan penyelesaian kepada sebarang isu-isu berkaitan dengan inisiatif baru NCR,” katanya.

Menurut Penghulu Garan, penyerahan gazet oleh Awang Tengah adalah bukti jelas yang kerajaan sentiasa mengiktiraf tanah NCR dan beliau menafikan sekeras-kerasnya dakyah pembangkang yang mengatakan pengukuran perimeter adalah untuk diagih-agihkan kepada syarikat-syarikat tertentu.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua komuniti Iban di Saratok agar menyokong penuh dasar inisiatif baru NCR yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun lepas.

Sementara itu, Penghulu Isa Geng melahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana akhirnya menunaikan impian mereka untuk melihat tanah NCR mereka disukat.

“Kami berterima kasih kepada bekas wakil rakyat Datuk Peter Tinggom atas usahanya sehingga berjaya memohon kepada JTS untuk menyukat tanah NCR kami,” katanya sambil menambah usaha itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat di Saratok.

Turut hadir Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Saratok Desmond Reynold Jemen, Juruukur JTS Betong Kudie Sandak, Pegawai Tanah JTS Betong David Laeng, kaunselor-kaunselor, penghulu-penghulu serta lebih 200 orang masyarakat setempat di sini.