Persiapan raya hangus

0

TERBAKAR...Pasukan bomba dan penyelamat sedang berusaha memadamkan kebakaran di Kampung Sembulan Lama kelmarin.

Empat rumah, satu balai raya terbakar di Kampung Sembulan Lama

KOTA KINABALU:  Beberapa keluarga di Kampung Sembulan Lama dekat sini terpaksa melupakan hasrat mereka untuk mengadakan rumah terbuka pada Hari Raya ini apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, empat buah rumah termasuk sebuah balai raya di kampung berkenaan musnah terbakar.

Menurut salah seorang mangsa, Suhaimi Sulaiman, 38 berkata, segala persiapan raya yang dilakukannya sejak beberapa hari lepas hangus terbakar.

“Sejak saya dilahirkan 38 tahun lepas, saya tidak pernah menyambut Hari Raya di tempat lain … saya tidak tahu apa akan terjadi selepas ini.

“Mungkin saya hanya akan beraya di rumah saudara-mara saya tapi ia pasti tidak sama seperti sebelum ini,” katanya sedih ketika ditemui di tempat kejadian kelmarin.

Suhaimi berkata, sebelum kejadian dia berada di rumahnya dan hanya menyedari kebakaran berlaku apabila terdengar jeritan ‘api!’ dari luar rumahnya.

“Apabila saya melihat ke luar melalui tingkap, saya nampak api sedang marak di balai raya bersebelahan rumah saya.  Tanpa berfikir panjang saya terus membawa keluar tiga orang anak saya dan beberapa ahli keluarga lain.

“Kami juga tidak sempat menyelamatkan apa-apa harta benda kerana api marak dengan begitu cepat sekali,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah ketika dihubungi kelmarin memberitahu pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 5.39 petang.

“Sebanyak tiga buah jentera daripada balai bomba Sembulan dan satu daripada Lintas bersama-sama 21 anggota kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan pada jam 5.43 petang,” katanya menambah api berjaya dikawal kira-kira jam 6.05 petang.

Menurutnya lagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.