PIBPM mahu Najib campur tangan

0

Ia berhubung kenyataan Kementerian Pelajaran yang mahu menamatkan PPSMI

KUCHING:Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PIBPM) mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan berhubung kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zakarshi bahawa kementeriannya tegas untuk menamatkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Demikian menurut kenyataan akhbarnya semalam apabila persatuan itu telah dimaklumkan oleh seorang menteri kabinet yang menyatakan bahawa kabinet tidak diberi fakta yang betul semasa diminta untuk menamatkan PPSMI.

Justeru, persatuan yang menyokong sepenuhnya PPSMI itu juga mencadangkan agar mereka bersama dengan pihak anti-PPSMI diberi peluang untuk membentangkan isu tersebut kepada jemaah kabinet agar satu keputusan yang adil dapat diperolehi.

“Kami merayu kepada Perdana Menteri (Najib) untuk campur tangan dalam isu yang berlarutan ini.

“Berilah peluang kepada kami pro-PPSMI dan pihak anti-PPSMI membentangkan kepada jemaah menteri mengenai pandangan kami, biarkanlah jemaah menteri memutuskan isu ini (opsyen PPSMI) berdasarkan fakta yang betul dan tidak berat sebelah,” katanya.

Di samping itu,PIBPM menerusi kenyataan akhbarnya itu turut menegaskan bahawa alasan menamatkan PPSMI iaitu kegagalan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar adalah tidak berasas.

“Walaupun suara rakyat mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka namun, Dr Puad Zarkashi masih mahu menegakkan yang ‘the Government knows better’ dan alasan kegagalan penguasaan bahasa Inggeris yang diberinya sangat cetek dan tidak berasas.

“Kami tidak kisah jika pihak menteri menganggap kami ibu bapa bodoh dan mudah ditipu tetapi kami mohon janganlah memperjudikan masa depan anak-anak bangsa kita dengan retorik perjuangan bahasa,” katanya.

Tambahnya, dengan menamatkan PPSMI akan memundurkan lagi rakyat di negara ini.

“Sudah berabad-abad orang Melayu memeluk agama Islam, namun sehingga kini kebanyakan orang Melayu tidak dapat menghayati Islam sepenuhnya sebab kita belajar agama dan Al-Quran dalam bahasa Melayu sedangkan lingua franca ajaran agama Islam adalah bahasa Arab.

“Begitu juga dengan ilmu sains dan matematik, lingua francanya adalah bahasa Inggeris dan tidak mungkin kita menjadi ilmuan tinggi dalam bidang ini dalam bahasa Melayu…setakat  jadi juara kampung bolehlah,” katanya lagi.