Skuad takraw tidak gentarkan Thailand Menjelang cabaran Piala Raja Thai September depan

0

DATUK PARUWADI MUSA

KUCHING: Kejayaan meraih naib juara pada Kejohanan Sepak Takraw Dunia di Kuala Lumpur Julai lalu bakal menyemarakkan semangat skuad negara menghadapi cabaran Piala Raja Thai di Bangkok, Thailand bulan depan.

Pengurus pasukan, Datuk Paruwadi Musa berkata pengalaman bergelar naib juara (pasukan lelaki) dan tempat ketiga (wanita) sudah tentunya memberi satu semangat baru buat anak-anak buahnya untuk berjuang dalam kejohanan di Thailand nanti.

Beliau berkata skuad negara akan menghadapi dua kejohanan sepak takraw peringkat antarabangsa di Bangkok bermula pada 7 hingga 18 September depan.

“Kami akan mengharungi cabaran kejohanan Super Series (7 hingga 12 September) dan kejohanan Piala Emas Raja Thai bermula 13 hingga 18 September,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Paruwadi yang juga Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkata kedua-dua kejohanan itu merupakan gelanggang ‘pemanas badan’ buat skuad negara untuk menghadapi cabaran Sukan SEA di Indonesia, November depan.

Beliau berkata bahawa berdasarkan prestasi terbaik dibuktikan oleh para pemain pada kejohanan dunia di Kuala Lumpur bulan lalu, ternyata skuad negara mampu memberi tentangan terhadap tuan rumah, Thailand.

“Thailand merupakan musuh tradisi kita dalam sepak takraw, justeru saya yakin para pemain akan berjuang dengan semangat yang tinggi ketika berdepan cabaran Thailand nanti,” katanya.

Sehubungan itu, Paruwadi yang merupakan Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) berlepas ke Kuala Lumpur hari ini untuk menghadiri majlis berbuka puasa dengan pemain-pemain negara petang ini.

Majlis itu dijangka turut dihadiri Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail serta barisan exconya dan tetamu jemputan.

“Selain berbuka puasa, saya juga dijadualkan akan melihat aksi-aksi para pemain skuad negara kita berlatih di bawah bimbingan jurulatih negara, Mohd Fitri Mohd Nor dan dibantu oleh jurulatih dari Thailand sebagai juruperunding,” katanya lagi.

Sebanyak 12 negara termasuk tuan rumah, Thailand bakal bersaing pada kejohanan anjuran Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Thailand itu.

Paruwadi menarik perhatian beliau optimis akan kemampuan skuad negara untuk memberi tentangan sengit kepada pasukan-pasukan lawan yang bakal beraksi di negara Gajah Putih itu nanti.

“Saya yakin pasukan Malaysia mampu memberikan tentangan hebat kepada pasukan-pasukan yang berentap pada kejohanan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata skuad sepak takraw negara juga telah pun menjalani latihan di Riau, Indonesia baru-baru ini untuk membentuk pasukan benar-benar mantap menghadapi kejohanan terbabit.

Paruwadi menambah kejayaan skuad negara merangkul pingat perak (naib juara) pada kejohanan tertutup China, Jun lalu juga mampu menjadi kayu pengukur pencapaian anak-anak buahnya.

“Saya percaya berbekalkan pengalaman dan pencapaian di peringkat antarabangsa, skuad sepak takraw Malaysia mampu menggegar pada kejohanan antarabangsa di Thailand nanti,” katanya bersemangat.

Antara negara-negara yang bakal bersaing pada kejohanan Piala Raja Thai ialah Vietnam, Indonesia, Jepun, Korea, China, India, Pakistan, Sri Lanka, Filipina, Myanmar, Kemboja, Malaysia dan tuan rumah, Thailand.

Malaysia bakal dibintangi pemain-pemain berpengalaman dari Kedah, Kelantan, Perak, Terengganu, Kuala Lumpur dan juga Selangor.

“Kesemua pemain kita telah menjalani latihan intensif sejak beberapa bulan lalu dan saya percaya mereka akan berupaya memberikan persembahan terbaik di sana nanti,” katanya.