Jalan raya ke Poliklinik Penampang perlu dilebarkan

0

PENAMPANG: Poliklinik Penampang memerlukan lorong pejalan kaki berbumbung dari jalan utama ke klinik berkenaan, selain mencadangkan jalan raya masuk ke klinik itu dilebarkan serta sebuah pondok istirehat.

Pegawai Kesihatan Kawasan Penampang, Dr Mohd Saffree Jaffree berkata lorong pejalan kaki berbumbung itu amat diperlukan bagi memberi keselesahan kepada para pesakit terutama ibu mengandung yang hendak pergi ke klinik berkenaan.

Selain itu, katanya, jalan raya masuk ke klinik itu juga perlu dilebarkan memandangkan keadaan jalan raya itu sekarang yang agak sempit dan menyukarkan kenderaan yang lalu lalang di situ.

“Saya dapati jalan raya yang ada sekarang seakan-akan satu helah sahaja oleh kerana itu ia perlu dilebarkan,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan hamper dan bungkusan kuih raya daripada Pegerakan Wanita Umno Bahagian Penampang, di klinik itu pada Jumaat lepas.

Hamper dan bungkusan kuih raya berkenaan disampaikan oleh Ketua Wanita Umno Bahagian Penampang, Nining Ballard.

“Saya kadang-kadang takut nak lihat kenderaan yang lalu lalang di situ sama ada kenderaan perseorangan mahupun van-van yang mengangkut penumpang.

“Lebih menakutkan lagi apabila kenderaan besar turut menggunakan jalan berkenaan, termasuk kenderaan besar menuju ke tapak perkuburan berdekatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masa pihak berwajib memikirkan untuk melebarkan jalan raya berkenaan.

Saffree berkata, poliklinik itu juga memerlukan sebuah pondok istirehat bagi kegunaan keluarga pesakit menunggu keluarga atau rakan mereka yang menerima rawatan di klinik berkenaan.

Semantara itu, Nining berkata beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada pihak berwajib.

Katanya, cadangan bagi melebarkan jalan raya itu amat bertetapan kerana sudah lama tiada perubahan sementara kenderaan yang menggunakan jalan itu bertambah pada setiap tahun.

“Kita juga akan cuba membantu mengemukakan permintaan Dr Saffree mengenai lorong pejalan kaki berbumbung serta pondok istirehat,” katanya.

Mengenai sumbangan itu, Nining berkata ia merupakan aktiviti  Pergerakan Wanita Umno Penampang pada bulan Ramadan.

“Kalau tahun-tahun yang lepas kita hanya sampaikan sumbangan Ramadan di IPD Penampang dan tempat-tempat lain dan tahun ini sumbangan Ramadan turut disampaikan kepada Poliklinik Penampang.

“Dan kita akan masukkan Poliklinik ini dalam kalendar Ramadan Pergerakan Wanita Umno Penampang mulai tahun depan,” katanya.