Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Komuniti Kristian mendoakan keamanan negeri
Komuniti Kristian mendoakan keamanan negeri
by Clarice Usop, Kilalis_87@yahoo.com.my. Posted on August 29, 2011, Monday
KOTA KINABALU: Kira-kira 2,000 anggota masyarakat Kristian berhimpun di Padang Merdeka di sini kelmarin bagi mengadakan acara “Berjalan Untuk Yesus- Cintai Malaysia” sempena Hari Merdeka ke-54 dan Hari Malaysia ke-48.
Acara ini yang disertai oleh pelbagai denominasi gereja di sekitar ibu kota dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yee Moh Chai. Turut hadir memberikan sokongan ialah Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Abdidin Madingkir.
“Acara ini adalah baik bagi menyatukan penganut agama Kristian dan bersama-sama mendoakan kesejahteraan negara ini,” kata Yee dalam ucapannya.
Katanya, aktiviti seperti itu menunjukkan gereja sedia membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang sosial.
“Saya gembira kerana masyarakat beragama Kristian mengambil bahagian yang proaktif dengan menganjurkan acara seperti ini dan menyemarakkan konsep 1Malaysia.
“Perjalanan anda akan menyedarkan masyarakat bahawa anda juga menyokong usaha kerajaan bagi membantu mengelakkan gejala negatif dalam masyarakat, seperti dadah dan keganasan,” katanya.
Yee juga menyeru agar setiap perserta bukan hanya membuka mata secara fizikal, tapi juga membuka mata hati dan terus berdoa untuk keamanan bandaraya, kerajaan dan juga masyarakat.
Sumbangan yang diperolehi daripada acara ini akan dihulurkan kepada Jabatan Penjara bagi membantu banduan dan bekas banduan serta keluarga menjalani proses pemulihan.
Perjalanan berkenaan bermula dari Padang Merdeka dan seterusnya berjalan di sekitar bandaraya sambil setiap peserta perjalanan ini berdoa untuk negeri Sabah.
Acara ini dianjurkan oleh Majlis Gereja-Gereja Sabah, gabungan gereja dan Jabatan Penjara Sabah.
<< Previous Entry - Next Entry >>
Advertisement






