Mat Sabu lupa sejarah, tidak menggunakan akal

0

Setia kawan.... Jainab dan Hamisa bersama pemimpin MIC dan PBS di Rumah Terbuka Ketua Menteri Sabah dan Menteri-menteri Kabinet Sabah di sini kelmarin.

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Umno Kalabakan dan Sepanggar menyifatkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, sebagai seorang yang lupa sejarah dan tidak menggunakan akal serta fakta sejarah.

Ketua Wanita Umno Kalabakan, Datuk Hamisa Samat juga berkata amat malang bagi Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam kerana memiliki pemimpin yang memuja kumpulan pengganas yang membawa fahaman tidak percayakan agama.

Mungkin disebabkan marah, dendam dan benci terhadap anggota polis, Mat Sabu mengambil jalan mudah untuk memburuk-burukkan kewibawaan polis dan memperkecilkan peranan pasukan keselamatan itu, katanya dalam satu kenyataan, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengiktiraf perjuangan komunis kerana ia tidak berlandaskan kepada undang-undang sebaliknya menggunakan pendekatan radikal bagi mencapai matlamat dan agenda tersendiri.

Hamisa juga menempelak Mat Sabu kerana sanggup mengubah sejarah dengan melabelkan dua tokoh negara iaitu Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar sebagai pegawai British, semata-mata kerana fahaman politik berbeza.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Sepanggar, Datuk Jainab Ahmad berkata tindakan Mat Sabu menyanjung komunis dan merendahkan maruah anggota keselamatan amat dikesali, sekali gus menunjukkan dia telah terpengaruh dengan ideologi komunis.

“Saya hairan kenapa sekarang orang kuat nombor dua Pas itu baru menimbulkan perkara berkenaan dan tidak membangkitkannya selama ini.

“Saya percaya tujuannya adalah untuk mencari mencari populariti kerana tiada isu lain yang boleh dibangkit memandangkan pilihan raya umum telah hampir tiba,” katanya semasa ditemui rumah terbuka Ketua Menteri dan Jemaah Kabinet di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas baru-baru ini.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya 26 Ogos lalu menyiarkan kontroversi yang dicetuskan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu apabila mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

Selain itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mat Sabu turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana mereka adalah pegawai British.

Menurut Jainab, kenyataan Mat Sabu bahawa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan adalah satu penghinaan kepada rakyat negara ini.

“Justeru, Pergerakan Wanita Umno Sepanggar mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Mat Sabu dan menganggap bahawa beliau merupakan pemimpin yang tidak berkualiti langsung,” katanya.