Tuesday, December 7

PRS tidak akan terima George Lagong: Masing

1

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing menegaskan bahawa parti itu tidak akan menerima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus George Lagong sekiranya beliau cuba mengetuk pintu.

Jelasnya, ia akan memberi imej buruk kepada PRS dan juga BN sekiranya mereka mengambil ADUN tanpa parti itu ke dalam perikatan BN.

“Saya tidak akan mengambil beliau (George untuk menyertai parti) walaupun buku jarinya bertukar lebam mengetuk pintu kami (PRS),” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Ketua Menteri sempena Hari Raya Kedua di sini, semalam.

Jelasnya yang juga Menteri Kemajuan Tanah, beliau tidak mahu menggalakkan tanggapan orang ramai bahawa mereka boleh melawan BN pada mana-mana pilihan raya kerana ‘Siapa menang boleh masuk BN’.

Katanya, perpaduan dalam BN akan runtuh sekiranya ia benar-benar berlaku.

“Sesiapa yang pernah menentang BN tidak boleh menyertai mana-mana komponen parti sewenang-wenangnya melainkan mendapat persetujuan atau pengecualian daripada semua parti komponen BN,” katanya.

Ketika ditanya mengapa BN mengambil ADUN Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa untuk menyertai BN, Masing memberitahu ia dipersetujui semua parti komponen BN pada saat akhir sebelum pilihan raya April lalu.

“Dahulu, saya tidak bersetuju dan saya rasa kita tidak boleh melakukannya semula. Anda membuat sebuah keputusan seperti itu tetapi bagi PRS, kita akan menutup pintu kepada sesiapa yang menentang BN,” katanya.

George bertanding di kerusi Pelagus yang diperuntukkan kepada PRS dengan tiket bebas dan mengalahkan calonnya, Stanley Nyitar dengan majoriti 2,837.

George, ketika ditanya mengenai masa depan politiknya memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pelawaan daripada mana-mana komponen parti BN.

“Saya sudah membuat keputusan dan saya tidak perlu mendedahkannya. Sama ada saya dengan BN atau tidak, saya akan mengumumkannya kepada anda apabila tiba masanya,” ujar beliau memberikan ‘teka-teki’.