Tiada parti politik lagi: Taib

0

BERTUKAR PENDAPAT: Taib membelek buletin Persekutuan Persatuan 7 Klan sambil disaksikan oleh Larry (dua kanan) dan Chai (kanan).

Situasi politik semasa tidak memerlukan wujudnya sebuah lagi parti baru

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud melihat tidak ada keperluan untuk mewujudkan sebuah lagi parti politik, lebih-lebih lagi dalam situasi politik semasa yang menyaksikan salah sebuah parti komponen BN Negeri yang masih lemah.

“Saya rasa kita tidak harus memikir (untuk menubuhkan) parti politik buat masa sekarang. Kita tidak harus terlalu bercita-cita tinggi sedangkan kita masih ada kelemahan yang perlu diberi tumpuan,” katanya ketika ditemui pada rumah terbuka Hari Raya Kedua, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, kelmarin.

Beliau secara tidak langsung merujuk kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang kini masih ‘terumbang-ambing’ selepas mengalami kekalahan teruk sebanyak 13 daripada 19 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri April lalu.

Taib yang juga Pengerusi BN Negeri memberitahu, apa yang penting pada masa sekarang ialah untuk memelihara keharmornian yang merupakan asas kepelbagaian kaum di Sarawak.

Beliau juga percaya kaum Cina turut memainkan peranan masing-masing dalam memeliharanya, tanpa mengira pandangan politik.

Ditanya mengenai politik di kalangan kaum Cina, katanya biarkan mereka sendiri yang membuat keputusan.

“Ia terpulang kepada kaum Cina untuk membuat keputusan. Saya mempunyai pendirian berlainan selepas pilihan raya dan mahu melihat apa sahaja yang kita dapat selamatkan daripada serangan pertama dari jenis politik yang berbeza supaya tidak keterlaluan.

“SUPP pula perlu bertanya kepada diri sendiri apa yang mereka harus kepada masyarakat Cina dan mereka harus ikhlas mengenainya,” katanya.

Ditanya sama ada Persekutuan Persatuan 7 Klan dapat membantu meraih semula keyakinan masyarakat Cina kepada kerajaan, beliau memberitahu ia lebih kepada kekuatan sosial untuk memperkukuhkannya.

Menurutnya, keyakinan ini berkait rapat dengan sosial kerana ia lebih berharga dalam hidup berbanding politik manakala politik hanya mengenai politik kepartian sahaja.

“Itulah perkara serius yang saya lihat dalam masyarakat Cina hari ini tetapi saya orang luar kerana hanya masyarakat Cina yang boleh bercakap mengenai perkara itu.

“Apapun, jika mereka ada sebarang permintaan, saya akan menimbangkannya. Lagipun kerajaan ada kelemahan seperti orang lain. Kita cuba membantu rakyat dan saya perlu melihat sama ada ia berada dalam kemampuan saya berdasarkan perspektif keseluruhan,” katanya lagi.

Di majlis rumah terbuka tersebut Ketua Menteri turut menerima kunjungan daripada pengerusi jawatankuasa protem Persekutuan Persatuan 7 Klan, Chai Then Sian dan Penasihat Belia di Pejabat Ketua Menteri, Larry Sng.