Kebuluran lebih teruk jika tiada hujan

0

MENU HARIAN: Nasi yang dimasak dengan daging biri-biri dan sedikit rempah disajikan setiap hari kepada rakyat Somalia di kem pelarian Maalini di pusat bandar Mogadishu, semalam. — Gambar Bernama

MOGADISHU: Mangsa kebuluran Somalia termasuk di Mogadishu berdepan malapetaka besar dalam tempoh dua bulan jika hujan tidak turun dan masyarakat antarabangsa terus tidak mengendahkan kebuluran yang dihadapi penduduk.

Penyelaras Agensi Pengurusan Bencana Somalia, Abdul Hakim Ahmed Guled, merayu masyarakat antarabangsa menyalurkan bantuan dengan segera.

“Jika kami tidak mendapat hujan pada bulan Oktober, iaitu masa yang sama biasanya hujan turun, ia akan menjadi bencana.”

“Jika ini berlaku, saya rasa tiada siapa yang boleh membantu kami. Bantuan yang kami perlukan sekarang ialah untuk membolehkan kami menyelamatkan nyawa esok dan mereka hari ini,” katanya ketika ditemui misi bantuan Kelab Putera 1Malaysia di kem penempatan sementara mangsa bencana kemarau di Badbado, dekat sini.

Abdul Hakim berkata, rakyat Somalia amat mengharapkan bantuan masyarakat antarabangsa termasuk negara Islam seperti Malaysia, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan Somalia satu ketika dulu.

“Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk membuka pejabat diplomatik di Somalia untuk mendapat gambaran jelas tentang apa yang berlaku di negara ini,” kata Abdul Hakim.

Menurutnya, bantuan berbentuk keperluan asas seperti air minuman, makanan dan perubatan amat diperlukan.

Abdul Hakim berkata, mangsa yang kebanyakannya golongan petani dari luar Mogadishu perlu dibantu kerana mereka merupakan tulang belakang ekonomi Somalia.

“Pelarian bencana itu tidak harus berada di ibu negara Somalia untuk jangka masa lama,” tegasnya. — Bernama