Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Sangkal pendedahan Wikileaks berhubung isu 16 Sept

Sangkal pendedahan Wikileaks berhubung isu 16 Sept

by RUZAINI ZULKIFLI, ruzainiUB@gmail.com. Posted on September 4, 2011, Sunday

Sama sekali tidak benar: Salleh

KOTA KINABALU: ‘Tidak benar sama sekali’, demikian kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, berhubung laporan Wikileaks mengenai komen beliau berkaitan kegagalan Pakatan Rakyat mengambilalih kerajaan persekutuan pada 16 Sept 2008 yang didedahkan baru-baru ini.

Beliau menafikan pernah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan apatahlagi menyatakan sokongan kepada anggota parlimen pembangkang mahupun Pakatan Rakyat.

Beberapa laman portal berita kelmarin yang kebanyakannya adalah anti kerajaan mendakwa Salleh menyatakan hampir separuh daripada 25 ahli parlimen Sabah telah bersedia untuk meninggalkan BN bagi menyusul tindakan yang diambil oleh SAPP seperti mana didedahkan oleh Wikileaks.

Pendedahan Wikileaks mengenai rancangan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengambilalihan tampuk pemerintahan negara pada 16 Sept 2008 dan mengaitkan Salleh sebagai berkata hampir 25 ahli parlimen meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada waktu itu.

Laman portal Malaysiakini pada dua hari lepas telah melaporkan bahawa kabel Kedutaan Amerika Syarikat mengatakan Anwar mendakwa sekumpulan ahli politik dari Sabah dan Sarawak merancang untuk keluar daripada BN pada 16 Sept, 2008, berikutan kedua-dua negeri itu dipinggirkan.

Satu entri dalam kabel itu, yang disiarkan oleh Wikileaks, menyatakan bekas Ketua Menteri itu memberitahu pegawai kedutaan itu bahawa lebih separuh daripada jumlah 25 anggota parlimen Sabah bersedia untuk meninggalkan BN.

Menurut kabel bertarikh 28 Jun 2008 itu, Salleh didakwa menjelaskan lapan hingga 14 ahli parlimen (daripada 25 MP Sabah terbabit) akan meninggalkan BN. Beliau menamakan lima dari Umno, empat dari Upko, sebagai tambahan kepada dua dari SAPP.

“Wikileaks ini memang sukar dipercayai dan sejujurnya perkara berkenaan (berkaitan 16 Sept) sama sekali tidak pernah timbul daripada saya.

“Saya tidak pernah mengesahkan atau menyokong anggota parlimen pembangkang atau Pakatan Rakyat. Pada masa itu, setahu saya pembangkang cuba sedaya upaya untuk menawan hati anggota Parlimen dari Sabah tetapi mereka gagal menarik mereka.

“Apa yang berlaku lebih kepada ‘perang psikologi’ yang dilakukan oleh pembangkang untuk tidak menstabilkan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Kabel itu mendakwa bahawa pegawai kedutaan itu mendapati “tidak ada sokongan” untuk kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di kalangan ahli politik senior yang mengadakan beberapa siri pertemuan di negeri ini dari 18 hingga 20 Jun tahun itu.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.