Jangan biar Miri jatuh ke tangan pembangkang

0

KENANGAN RAYA: Depan dari kanan, Datuk Sebastian, Abu Bakar, Samad, Chin, Pemanca Wilson Siang Lim bersama penduduk dan tetamu bergambar di balai raya Kampung Lereng Bukit semalam.

Jika tidak pembangunan yang dirancang selama ini akan terbantut, kata Peter Chin

MIRI: Jangan biarkan kerusi Parlimen Miri jatuh ke tangan parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, tegas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Ahli Parlimen Miri itu tidak mahu program-program pembangunan yang telah dirancangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membangunkan Miri akan terbantut kerana kekurangan wakil BN di bahagian ini.

BN katanya telah kehilangan kerusi Pujut dan Piasau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu yang merupakan kerugian besar untuk Miri dalam usahanya menuju status bandar raya peranginan.

Misi berkenaan sebelum ini diperjuangkan oleh wakil-wakil rakyat BN khasnya oleh bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan bekas ADUN Piasau Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam yang juga dianggap sebagai bapa pembangunan Miri.

“Jika kita telah hilang Piasau, janganlah kita hilang kerusi Parlimen. Sebab kerusi Piasau adalah satu kerugian kepada kita. Jika kita menang kerusi Piasau, Dr Chan akan terus dapat berkhidmat  dan berbuat sesuatu untuk kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menemui penduduk Kampung Lereng Bukit di sini semasa majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di balai raya kampung itu semalam.

Dr Chan yang turut memimpin Miri Happening Team (Pasukan Perancang Miri) dibantu oleh Ahli Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin Fah Kui,  Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, ADUN Senadin Datuk Lee Kim Shin,  ADUN Bekenu Rosey Yunus, Datuk Bandar, Lawrence Lai,  bekas ADUN Pujut, Andy Chia, bekas ADUN Lambir Datuk Aidan Wing dan bekas Datuk Bandar, Datuk Wee Han Wen.

Kerusi DUN Lambir sekarang ini dipimpin oleh wakil rakyat baru, Ripin Lamat.

Kepimpinan pasukan ini berjaya menukar imej Miri dari sebuah kampung nelayan dan bandar kecil kepada sebuah bandar raya pada tarikh bersejarah iaitu 20 Mei 2005.

Chin memberitahu, penduduk Miri khasnya penduduk kampung di kawasan DUN Piasau harus redha dengan kepimpinan wakil rakyat baru mereka iaitu Ling Sie Kiong dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Selepas pilihan raya lalu, beberapa buah kampung di kawasan Piasau mendakwa wakil-wakil rakyat dari parti lawan itu belum lagi menemui mereka untuk mendengar permasalahan ataupun aduan.

Sehubungan itu, Chin meminta semua wakil-wakil rakyat yang terpilih dalam pilihan raya lalu agar turun padang menemui rakyat di peringkat akar umbi.

“Mesej saya ialah parti yang sudah menang sepatutnya memberi tumpuan dan masa kepada rakyat sama ada di kampung atau bandar. Mereka perlu (berjumpa penduduk) kerana mereka adalah wakil rakyat yang telah dipilih dan menang,” jelasnya.

Beliau berharap pengundi di bahagian ini akan memberi sokongan padu kepada calon-calon BN yang bertanding dan PRU ke-13 akan datang.

Miri yang merupakan kubu kuat BN selama ini harus dikekalkan agar lebih banyak pembangunan dari kerajaan dalam disalurkan kepada Miri termasuk penduduk di kampung dan luar bandar.

“Ini bagi kesejahteraan semua,  pembangunan kampung, Miri dan masa depan. Fikirlah baik-baik. Fikir kembali apa yang telah kita hilang,” jelasnya.

Hadir sama semalam ialah Setiausaha Politik beliau, Datuk Sebastian Ting, Penghulu Samad Alip dan Ketua Kaum Abu Bakar Abdullah.