Saturday, August 13

Pengetahuan pertolongan cemas wajar diperluaskan ke luar bandar

0

BEGINI CARANYA: Salah seorang ahli BSMM Cawangan Sarikei membuat demonstrasi CPR sambil disaksikan oleh penduduk rumah panjang.

SARATOK: Pengetahuan mengenai pertolongan cemas khusus sekali bagi masyarakat di kawasan luar bandar amat penting sekali.

Ini adalah berikut, masyarakat luar berada jauh dari pusat perubatan seperti klinik dan hospital, dimana terdapat sesuatu kes yang berlaku memerlukan tindakan rawatan awal sebelum ia menjalani rawatan lanjutan oleh pihak perubatan yang arif.

Pegawai Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Sarikei, Ling Hau Ching berkata, langkah awal rawatan amat penting pada sesuatu kes kecemasan terutama dalam menyelamatkan nyawa seseorang kerana pada dasarnya setiap detik itu amat bernilai sekali.

“Melalui kesedaran inilah pihak kita merasakan ia adalah merupakan satu tanggungjawab kita sebagai sebuah badan yang berkaitan dengan hal terbabit, turun padang untuk membantu dengan termampu oleh kita iaitu memberikan pengetahuan dan tunjuk ajar tentang perkara berkaitan.

“Kita berharap melalui penerangan yang disampaikan melalui sesi ceramah dan slot tayang video serta penjelasan secara teori tentang langkah-langkah pertolongan kecemasan ini akan mampu memberi sedikit gambaran dan penjelasan tentang perkara yang patut dilakukan oleh masyarakat apabila berhadapan dengan situasi yang berkenaan,” kata Ling.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita sebaik sahaja selesai menyampaikan Kursus Pertolongan Cemas Komuniti (CFAS) di Rumah Banta, Rantau Sukat, Brayang, semalam.

Kursus tersebut telah disertai oleh sekitar 30 orang penduduk dari rumah panjang berkenaan.

Program tersebut adalah merupakan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terbabit dengan kerjasama pihak BSMM cawangan Sarikei.

Objektif program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan pertolongan cemas asas di kalangan ahli keluarga rumah panjang.

Menurut Ling lagi, tujuan lain program ini dianjurkan adalah bertujuan untuk melahirkan ahli keluarga yang boleh menangani dan bertindak semasa kecemasan berlaku.

“Melalui program ini para peserta yang terdiri dari masyarakat rumah panjang akan didedahkan dengan perkara seperti objektif pertolongan cemas, prinsip asas pertolongan cemas, garis panduan asas pertolongan cemas serta perkara yang berkaitan dengan peralatan kotak pertolongan cemas.

“Peserta yang mengikuti kursus ini juga turut didedahkan dengan jenis-jenis luka, pendarahan dan kecederaan mengikut peringkat-peringkatnya, di samping menerangkan kepada masyarakat tentang cara untuk merawat setiap kecederaan itu berdasarkan kadar keseriusan kemalangan yang dihadapi oleh mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Tuai Rumah Banta yang mewakili penghuni rumah panjangnya,  mengucapkan terima kasih kepada pihak BSMM cawangan Sarikie di atas kesudian mereka meluangkan masa memberikan pengetahuan  yang amat berguna kepada masyarakat rumah panjang berkenaan.

Pada masa yang yang sama juga, beliau berharap aktiviti seperti berkenaan akan dapat diteruskan lagi di masa yang akan datang kerana ia mampu memberi pengetahuan yang baik kepada masyarakat luar bandar amnya.