Perpaduan hak eksklusif bersama, wajib dipertahan

0

Rakyat jangan memandang ringan usaha perkukuhkan perpaduan demi kemajuan bersama, kata Abu Seman

IGAN: Perpaduan merupakan hak eksklusif bersama penduduk berbilang bangsa, kepercayaan dan agama di negara ini yang wajib dipertahankan, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Abu Seman Jahwie.

Berucap sebagai tetamu kehormat Majlis Melanggar Meja anjuran Kampung Tengah, di sini pada petang Sabtu beliau mahu penduduk tidak memandang ringan tentang usaha memperkukuhkan lagi perpaduan.

“Kemajuan yang dikecapi sejak 54 tahun negara merdeka adalah kesan sinergi perpaduan. Kita berkongsi perayaan. Sebagai contoh, hari ini kita meraikan Aidil-fitri bersama. Begitu juga apabila Gawai, Tahun Baru Cina serta Krismas.

“Perkongsian sebegini menjadikan kita bersatu. Bandingkan suasana Aidilfitri kita dengan penduduk di beberapa negara Timur Tengah yang bergolak sekarang. Kita pasti tidak mahu perkara sedemikian berlaku di sini,” katanya.

Menyentuh aktiviti Melanggar Meja di sini setiap kali Hari Raya Aidilfitri diraikan, Abu Seman yang juga Setiausaha Politik Ke-tua Menteri menyarankan generasi muda agar mempertahankan tradisi murni itu.

“Pertahankan Melanggar Meja. Justeru, Melanggar Meja cukup sinonim dengan Igan. Meskipun pelbagai produk hiliran Igan seperti ikan masin dan pekasam kian popular dewasa ini, namun saya berpendapat Melanggar Meja merupakan yang terunik.

“Melanggar Meja tiada di tempat lain. Kemeriahan menyambut Aidilfitri di sini luar biasa. Selain warna-warni pakaian para tetamu serta kepelbagaian juadah, Melanggar Meja juga merupakan ruang untuk memperkasakan lagi ikatan silaturahim,” tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Residen Mukah (Sosial) Philip Peter Salam, Penolong Pegawai Pentadbir Pejabat Daerah Kecil Igan Yusuf Hossen, Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr. Osman Rafaie dan Pegawai Penerangan Daerah Matu Zaini Morshidi.

Pengerusi jawatankuasa pengelola Nahar Seman, Penghulu Perseh Abdul Rani dan Kaunselor Majlis Daerah Matu/Daro (MDMD) Zad Mohammad turut menghadiri majlis yang dimeriahkan lagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta persem-bahan nasyid itu.