TYT dan isteri adakan kunjungan Hari Raya Aidilfitri ke Sarikei

0

UNTUK ALBUM: Para tetamu kehormat bersama dengan TYT dan Toh Puan merakam gambar kenangan bersama dengan ahli keluarga Abang Mohd Porkan.

SARIKEI: Kunjungan  Hari Raya Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah ke Sarikei semalam telah berlangsung dengan cukup meriah sekali.

Sebanyak 3 buah rumah kediaman penduduk tempatan di kawasan Sarikei ini yang terdiri daripada pegawai jabatan kerajaan dan ketua masyarakat telah menjadi lokasi kunjungan TYT dan Toh Puan.

Antaranya ialah rumah milik Pegawai Daerah Sarikei, Abang Mohd Porkan Abang Budiman yang terletak di Kampung Seberang Sarikei, rumah kediaman Temenggung Junia Olia di Jalan Teruntum Sarikei dan rumah Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Sarikei, Ahmad Adai di Jalan Century Garden, Sarikei.

Sebaik sahaja selesai mengadakan sesi kunjungan di Sarikei TYT dan Toh Puan serta rombongan telah berangkat ke Bintangor untuk mengunjungi sebuah rumah ketua masyarakat di tempat tersebut iaitu rumah kediaman Pemanca Suhaili Bujang yang terletak di Jalan Abang Ali Meradong.

Setelah sesi kunjungan Hari Raya di Bintangor selesai Yang di-Pertua Negeri  dan Toh Puan bersama rombongannya telah berangkat ke Sibu bagi meneruskan lawatan Hari Raya ke rumah masyarakat di kawasan tersebut.

Sekitar 200 masyarakat setempat turut hadir pada lawatan tersebut.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing, Ahli Dewan Undangan Negeri Belawai (ADUN) Datuk Len Talif Salleh, ADUN Sarikei Dr Wong Hua Seh, ADUN Simunjan Mohd Naroden Majais,  Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar dan juga Residen Bahagian Sarikei Michael Dawi Ali.