Jangan biar SCORE ‘dirosak’

2

Ketua Menteri ingatkan rakyat untuk tidak membiarkan anasir politik mengancam pembangunan SCORE dan perpaduan rakyat

MIRI:  Jangan biarkan anasir-anasir politik merosakkan perpaduan rakyat dan kesungguhan kerajaan negeri menjana ekonomi di wilayah Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE).

Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tanpa keutuhan perpaduan, sukar untuk kerajaan menjayakan SCORE serta menunaikan janji-janji yang diberikan kepada rakyat hasil daripada pembangunan kawasan ekonomi itu kelak.

“Sedihnya, pada pilihan raya lalu, rakyat diperkenalkan dengan beberapa elemen (politik) yang boleh mengalihkan perhatian rakyat kita (daripada kerajaan). Banyak kebaikan yang telah kita capai dalam tempoh beberapa dekad lalu.

“Kita mempunyai perpaduan yang sudah cukup kuat dalam masyarakat kita yang tidak seharusnya dibenar untuk dirosakkan semasa pilihan raya lalu dengan pelbagai jenis taktik politik,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri mengajak semua rakyat khasnya masyarakat Cina agar tidak membenarkan politik sebegitu merebak di kawasan lain dan dalam hidup masyarakat.

“Masa depan kita tidak akan hanya digambarkan dari satu atau dua pilihan raya.

“Nasib kita (rakyat) bergantung dengan bagaimana kita menjadikan masa depan kita dan saya rasa kita mempunyai perpaduan dan kerjasama pasukan yang cukup kuat untuk membolehkan kita mencapai apa yang SCORE janjikan,” tambah beliau lagi.

Taib berkata demikian ketika menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) di Eastwood Valley and Country Golf Club, di sini, malam kelmarin.

Mengulas mengenai SCORE, Taib berkata, SCORE akan dinikmati secara berterusan oleh penduduk Sarawak dengan kemuncaknya dapat dilihat menjelang 2030 apabila keseluruhan pelaburan berjumlah ratusan bilion masuk ke negeri ini.
Sarawak katanya, akan ada 977,000 tenaga kerja dengan penduduknya berjumlah 2.5 juta dan melalui SCORE, peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan menjelang 2030 adalah 2.5 juta.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa SCORE adalah inisiatif penting kerajaan menjadikan Sarawak negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Setakat ini, Taman Perindustrian Samalaju menerima lapan pelaburan dengan nilai RM17 bilion terdiri daripada industri berat yang memerlukan banyak tenaga, manakala dua pelaburan di Hab Halal Tanjung Manis bernilai RM2 bilion membabitkan projek akuakultur.

“Sarawak telah mencapai sesuatu (kejayaan) yang mungkin dianggap sambil lewa yang seharusnya terus diperkatakan. Inilah yang istimewa tentang rakyat Sarawak. Jangan buat politik yang boleh rosakkan janji itu (dari pelaburan SCORE).

“Rakyat boleh kuatkuasakan pelbagai jenis politik di Sarawak tetapi saya boleh memberitahu anda yang rakyat akan terus setia demi kerana kebaikan untuk mencapai tranformasi yang SCORE dijanjikan iaitu pelaburan bernilai (AS$) 200 billion dolar,” jelasnya.

Taib berterima kasih atas sokongan rakyat pribumi negeri ini atas kejayaan besar Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memenangi semua kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri lalu.

Kejayaan itu katanya menggambarkan kekuatan perpaduan kaum pribumi dan sokongan kaum Bumiputera terhadap kepimpinan kerajaan negeri selama ini.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa masyarakat Cina di negeri ini untuk mencari jalan menguatkan hubungan dan jaringan sesama mereka dengan tidak membenarkan anasir-anasir politik yang boleh menggugat penyatuan yang telah mereka bina sejak beberapa dekad lalu.

“Saya mengucapkan terima kasih kerana telah memberi PBB kemenangan 100 peratus dan kepada parti-parti lain saya juga mengucapkan terima kasih kerana memberikan kita majoriti dua pertiga . Kita perlu mengekalkan kebaikan yang ada untuk memastikan masa depan yang aman dan memastikan kejayaan SCORE

Di majlis yang sama juga, syarikat perumahan Naim Holdings Bhd menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM).

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Menteri Pelancongan dan Warisan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Datuk Seri James Jemut Masing, Pengerusi LAKMM Datuk Abdillah Abdul Rahim dan Ahli Parlimen Sibuti merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras majlis, Ahmad Lai Bujang.