Mahu tanah diiktiraf NCR

0

Penduduk rumah panjang di Ulu Ngemah mohon JTS sukat tanah mereka dan memberinya status tanah NCR

SIBU: Seramai 200 orang ketua bilik dan ketua masyarakat daripada 18 rumah panjang di Ulu Ngemah Kanowit mahukan tanah mereka diberi status tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Tuai Rumah Magai Sawing berkata, mereka memohon kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) supaya melakukan sukatan perimeter terhadap tanah mereka dan diberi status tanah NCR.

“Permohonan ini adalah salah satu daripada objektif pembentukan Protem Penduduk Asal Ulu Ngemah (PPAUN) selain pada masa yang sama memiliki tanah di sekitar kawasan Ulu Ngemah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Magai berkata, kini kebanyakan mereka yang berasal dari sekitar kawasan Ulu Ngemah menetap di Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun, Nanga Jagau, Nanga Skuau serta di sepanjang tebingan Sungai Ngemah.

Menyentuh mengenai PPAUN, Magai menjelas-kan protem tersebut yang dipengerusikannya akan bertindak mengenal pasti pemilik tanah asal di kawasan Ulu Ngemah dan seterusnya membuat permohonan supaya tanah-tanah tersebut disukat.

Untuk rekod, sejarah awal penempatan di Ulu Ngemah bermula sebelum tahun 1910 lagi.

Ini dibuktikan dengan pemilikan dokumen lama serta barang-barang peninggalan nenek moyang mereka yang sehingga kini masih lagi diwarisi mereka.

Antaranya termasuk kewujudan ‘pemakai menua atau pulau galau’ (preserved forest) ‘kawasan temuda’ (farmed land) serta kubur lama yang sehingga kini masih ada lagi.

Bagaimanapun pada 1970-an, penduduk di kawasan Ulu Ngemah telah dipindahkan ke kawasan Skim Penempatan Semula yang diselia Rejang Area Security Command (RASCOM) ekoran ancaman komunis.

Dalam pada itu, Penghulu Ambrose Digat ketika ditanya komen mengenai penubuhan PPAUM menjelaskan ia se-suatu yang menarik dan beliau menyokong penuh.

Ia ujar beliau, wajar dilakukan sejak dahulu lagi untuk menjaga kepentingan semua pihak termasuk penduduk di Ulu Ngemah.

Sebagai permulaan, protem tersebut akan menggerak-kan dasar mereka menerusi menerima sumbangan daripada kalangan ahli.

Hadir sama pada penu-buhan protem berkenaan ialah Pegawai Perhubungan PPAUN Kennedy Entili.