Penutup parit uzur seperti perangkap menanti mangsa

0

SARIKEI: Sekilas pandang ia kelihatan seperti tiada apa yang berlaku, namun apabila diamati secara dekat barulah anda sedar bahawa ia merupakan ‘perangkap’ yang sedang menunggu mangsa yang  tidak bernasib baik.

Itulah yang dapat disimpulkan terhadap beberapa tudung penutup parit utama di beberapa tempat di bahagian bandar ini.

Apa yang pasti tudung penutup parit yang diperbuat daripada besi itu kelihatan uzur dan memerlukan kerja baik pulih atau lebih tepat lagi ditukar baru.

Hasil tinjauan yang dilakukan oleh pemberita Utusan Borneo semalam ke beberapa lokasi di bandar ini mendapati aduan orang awam mengenai perkara terbabit memang jelas ada berlaku.

Salah satunya ialah penutup parit utama yang terletak di Jalan Repok berhampiran Market Basah Sarikei yang jelas kelihatan sudah buruk dan berlubang.

Menurut salah seorang pemilik kedai di kawasan terbabit yang enggan namanya disiarkan, perkara sedemikian seharusnya dipandang serius oleh pihak berkaitan.

“Jangan biarkan ia melarat dan sudah ada yang menjadi mangsa kejadian barulah hendak bergerak untuk membaikinya.

“Dalam hal ini kita bukan hendak mempertikaikan dan mengajar sesiapa untuk membuat kerja, tetapi apa yang jelas ia membabitkan keselamatan semua pihak, jadi amat wajar bagi kita mengambil langkah pencegahan awal sebelum kejadian  tidak diingini berlaku,” katanya.

Seorang pemandu kereta yang hanya mahu dikenali sebagai Roslee, 47 ketika ditemui pemberita di lokasi tersebut berkata, pihak berkuasa tempatan tidak boleh memandang hal ber-kenaan sebagai perkara yang remeh.

“Perkara seperti ini harus dipantau pada setiap masa dan kerja penyelenggaraan harus dilakukan berdasarkan tempoh masa tertentu kerana apa yang pasti ialah rata-rata benda yang melalui tudung penutup besi ini khususnya di kawasan jalan-jalan utama ialah kenderaan yang berat-berat.

“Apabila ia menanggung beban yang berat sudah pasti pada setiap detik akan berlaku perubahan pada strukturnya.

“Apa yang merisaukan kita sekarang ialah sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini akibat dari masalah tersebut… adakah perlu bagi kita untuk me-nuntut sebarang bentuk ganti rugi daripada pihak berkaitan ataupun sebaliknya,” ujar Roslee.