Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Pokok tempatan pun ada kelas:Azizah

Pokok tempatan pun ada kelas:Azizah

by NIK JASNI CHE JAAFARnikjasni.ub@gmail.com. Posted on September 6, 2011, Tuesday

Azizah mendengar penerangan daripada Magendran tentang pengalaman beliau mendaki Everest dan penglibatannya dalam program membasmi dandelion di Taman Kinabalu. Turut kelihatan Paul (kanan), Anuwi (dua kiri) dan Wong (belakang)

KOTA KINABALU: Jangan terlalu memuja produk luar sehingga meminggirkan kekayaan dan keunikan yang dimiliki di negara sendiri, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun.

Sebagai contoh, katanya, ketika ini banyak pihak lebih cenderung mendapatkan tumbuhan dari luar negara untuk dijadikan tumbuhan hiasan landskap hingga terlupa potensi tumbuhan tempatan yang kadangkala lebih cantik.

“Seperti budaya asing yang sebati dalam masyarakat sehingga sukar dihilangkan, tindakan mengutamakan pokok-pokok luar ini nanti pasti akan memberi kesan kepada kekayaan alam yang dimiliki kerana tidak banyak usaha untuk mengekalkannya.

“Sudah tiba masanya untuk kita sedar dan kembali menghargai kepelbagaian tumbuhan tempatan terutamanya bunga-bungaan dan herba yang tidak kurang hebatnya berbanding bunga dan pokok herba dari luar negara,” katanya di sini, kelmarin.

Azizah berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Seminar dan Pameran Dandelion dan Gunung Kinabalu-Tapak Warisan Dunia.

Tambahnya lagi, terdapat juga pokok dari luar negara yang bersifat dominasi sehingga boleh mengancam spesis tempatan seperti yang berlaku di Taman Kinabalu.

“Difahamkan, dandelion yang berasal dari Eropah kini mengancam tumbuhan tempatan di sekitar Taman Kinabalu kerana selain mudah membiak, dandelion juga mudah beradaptasi dengan persekitaran di kawasan tersebut.

“Dandelion adalah bunga kecil, kekuningan dan ketika ini, ada juga yang menggunakannya sebagai bunga perhiasaan tanpa menyedari ancaman yang dibawa oleh pokok ini,” katanya.

Azizah berkata, sejak program mengeluarkan dandelion dan Taman Kinabalu dijalankan pada 2001, telah banyak tumbuhan itu yang telah dihapuskan tetapi kerana dandelion cepat membiak menyebabkan masih banyak tumbuhan itu dilihat di kawasan terbabit.

Di samping itu, Azizah berkata, penyertaan 70 guru dan pelajar dari Semenanjung bersama pendaki Everest, Datuk M Magendran menunjukkan kesungguhan dan dedikasi dalam menyokong usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara.

Magendran, rakyat Malaysia pertama yang mendaki Gunung Everest telah menyertai aktiviti mengutip dandelion di Taman Kinabalu sejak beberapa tahun lalu.

Turut menyertai program itu adalah ahli Persatuan Penanam Herba Borneo Utara, kakitangan Taman-Taman Sabah dan Perpustaan Negeri Sabah yang memulakan pendakian pada hari ini.

Azizah berkata, kementerian beliau juga akan terus menyokong usaha seperti itu dan pada masa yang sama berharap perpustakaan akan terus relevan menjadi pusat rujukan dan maklumat utama.

Hadir sama Pengarah Taman-Taman Sabah, Paul Basintal; Panglima Wilayah Laut 2 TLDM, Laksamana Muda Datuk Anuwi Hassan dan Pengarah Perpustaan Negeri Sabah,  Wong Vui Yin.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.