Projek jalan Senadin dinaik taraf empat lorong, kata Lee

0

TINJAU: Lee meluangkan masa meninjau kelancaran projek pembesaran Jalan Maigold di Desa Senadin.

MIRI: Masalah kesesakan yang dialami pengguna jalan raya di kawasan perumahan Senadin yang turut menempatkan dua buah sekolah akan selesai apabila projek menaik taraf jalan dua lorong ke empat lorong dijangka siap penghujung tahun ini.

Menteri Muda Komunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin berkata, projek pembinaan dua lorong tambahan sepanjang 900 meter itu membabitkan kos sebanyak RM960,000 dan merupakan satu projek dibawah Majlis Bandaraya Miri (MBM).

“Kita amat berharap dengan adanya lorong tambahan dan jalan raya yang lebih besar akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak,” katanya kepada media selepas meninjau perkembangan projek pembesaran jalan di Jalan Maigold, Senadin semalam.

Selain menempatkan kira-kira 10,000 penduduk dan Universiti Curtin Sarawak Malaysia (Curtin Sarawak), Senadin mempunyai dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangaan (SK) Senadin dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut yang keseluruhan menempatkan kira-kira 3,000 pelajar.

“Jadi bayangkan setiap hari betapa sesaknya laluan ini terutama pada waktu pagi dan tengah hari. Sebelum ini pihak sekolah termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memohon kerajaan agar membesarkan jalan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, penduduk di kawasan Senadin dan Tudan semasa dialog bersama MBM tahun lepas telah mencadangkan kepada Datuk Bandar Lawrence Lai agar mempertimbangkan cadangan untuk membesarkan jalan bagi melancarkan sistem lalu lintas di situ.

Setiap hari jalan tersebut terlalu sesak terutama pada jam 6 hingga 8 pagi, jam 12 tengah hari hingga 2 petang dan dari jam 5 hingga jam 7 malam. Jalan tersebut mempunyai dua lorong yang sempit, dan keadaan bertambah buruk setiap kali berlaku kemalangan.

Selain SK Pujut dan SMK Senadin, kawasan yang mengalami kesesakan ialah di Jalan Tudan.