Pertembungan 2 pacuan empat roda, seorang maut tiga parah

37

TERSEPIT: Anggota Bomba dan Penyelamat sedang berusaha mengeluarkan Ting yang tersepit di tempat duduk hadapan Toyota Hilux.

SIBU: Seorang lelaki maut setelah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail yang dipandunya terbabit dalam nahas jalan raya di Batu 10, Jalan Tunku Abdul Rahman dekat sini pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.40 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Khusaini Sulong, 39, meninggal dunia di tempat kejadian setelah pacuan empat roda yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan.

Toyota Hilux tersebut difahamkan telah hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas lebih 50 meter lalu merempuh Nissan X-Trail sebelum melanggar sebuah kenderaan Toyota Fortuner milik Jabatan Pelajaran Negeri yang berada di belakang.

Bagaimanapun, dua orang pegawai wanita dan seorang pemandu lelaki di dalam kenderaan Fortuner tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Khusaini yang berasal dari Kampung Boyan, Kuching sedang dalam perjalanan ke Bintulu bersama dua orang pegawai dari Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Negara di Jabatan Perdana Menteri, yang mengiringi konvoi dua buah kenderaan dari Jabatan Pelajaran Negeri dalam perjalanan menghantar dokumen Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) ke Bintulu.

Dua orang pegawai yang menumpang bersama mangsa dikenali sebagai Ranno Mainor, 29, yang berasal daripada Sabah cedera parah, kini sedang dirawat di Unit Penjagaan Rapi (ICU) di Hospital Sibu.

Seorang lagi mangsa, Mohd Khairul Sharizan B. Hami, 27, turut cedera di bahagian kepala dan mengalami sakit dada juga dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Impak kuat daripada rempuhan kenderaan Hilux berkenaan turut menyebabkan bumbung kenderaan Nissan X-Trail tersebut robek dan rosak teruk.

Ranno yang duduk di sebelah kiri bahagian hadapan tersepit di tempat duduknya dalam keadaan separuh sedar manakala Khusaini yang masih berpegang pada sterengnya dan tidak bernyawa terpelanting ke tempat duduk belakang dengan wajahnya hampir tidak dikenali.

Mohd Khairul dipercayai tercampak keluar daripada kenderaan kelihatan traumatik tetapi mampu berdiri.

Pemandu Toyota Hilux yang hanya dikenali sebagai Ting, 24, yang turut tersepit di dalam pacuan empat roda yang dipandunya turut mengalami cedera parah namun berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Mereka yang cedera dikejarkan ke hospital dengan ambulans manakala mayat Khusaini dibawa ke hospital menggunakan kenderaan polis untuk bedah siasat.

Sehubungan dengan kejadian tersebut, polis traffik dari Ibupejabat PolisDaerah Sibu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai nahas tersebut untuk tampil ke hadapan untuk memberi maklumat bagi membantu siasatan polis dengan menghubungi talian 084-322222 sambungan 335.

Kes kemalangan tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.

Gambar dari file - Surat khabar SH

Gambar dari file - Surat khabar SH