Tiada kebakaran berlaku di utara Miri

0

MIRI: Tiada kebakaran hutan belukar atau paya gambut berlaku di kawasan utara Miri yang menyebabkan kepulan asap tebal di sekitar kawasan berkenaan semalam.

Ketua Balai Bomba Lopeng Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Ayub Hassan berkata, sebuah jentera pemadam yang membawa enam anggota telah diarahkan ke kawasan kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Antara lokasi kebakaran yang diterima ialah sekitar kawasan Universiti Curtin Sarawak di Senadin.

“Kami menerima panggilan pada jam 11 pagi semalam memberitahu ada kes kebakaran berlaku di kawasan Curtin.

“Tetapi setelah tiba di tempat kejadian, anggota kami memberitahu tiada kebakaran dan tiada asap tebal,” jelas beliau yang dihubungi semalam.

Selain Curtin, lokasi lain yang dilaporkan mengalami kebakaran hutan ialah kawasan sekitar Sungai Tujuh Kuala Baram.

“Setakat ini tiada kebakaran hutan berlaku di kawasan berkenaan. Bagaimanapun kami akan terus melakukan pemantauan. Buat masa ini, kami akan buat rondaan,” tambahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin turut dimaklumkan tentang kejadian kebakaran di kawasan Kuala Baram, Permyjaya dan Senadin.

Beliau turut diberitahu tentang adanya kebakaran hutan belukar di kawasan sekitar pasar raya emart Tudan.

Bertindak daripada aduan itu, Lee kemudian mengarahkan Pejabat Residen, bomba, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menyiasat kejadian kebakaran itu.

“Saya juga menerima berita tentang kebakaran ini pada sebelah tengah hari. Saya mahu siasatan terperinci tentang kejadian ini dan mahu tindakan undang-undang yang tegas dikenakan kepada pelaku,” jelasnya.

Kawasan utara Miri, khasnya Kuala Baram, Senadin, Permyjaya merupakan antara lokasi kerap berlaku kebakaran.