Tiga feeder SESB sudah beroperasi

0

FEEDER BARU...Fuad menunjukkan feeder baru yang telah siap dibina bagi mengurangkan masalah gangguan elektrik di Sekitar Daerah Papar.

KOTA KINABALU:  Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah menyiapkan sebanyak tiga buah feeder (penyuap) di kawasan sekitar daerah Papar dan telah beroperasi sepenuhnya pada 29 Ogos lalu.

Pengurus Besar (Pembahagian) SESB, Ir Ahmad Fuad Kasim berkata pihaknya sudah merancang beberapa buah projek bagi memperkukuhkan lagi sistem pembahagian bekalan elektrik di Kawasan Kota Kinabalu selain kawasan sekitar  daerah Papar.

“Feeder yang disiapkan ini akan memberikan manfaat kepada lebih 3,000 pengguna di sekitar Kawang, kawasan Industri Lok Kawi, pekan Kinarut, Langkuas, Sulim dan Tampasak.

“Kos bagi pemasangan tiga feeder ini menelan belanja lebih kurang RM500,000. Dengan siapnya projek ini, ia mampu mengurangkan gangguan serta kebergantungan bekalan elektrik yang selama ini hanya disalurkan melalui pencawang pembahagian utama di Kinarut.

“Di samping itu, ia juga dapat mengurangkan beban di pencawang pembahagian utama di Kinarut kerana adanya penyaluran bekalan daripada feeder yang baru di Lok Kawi,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan ke projek pemasangan feeder di sini kelmarin.

Kata Fuad, pembinaan ini juga dapat menyediakan satu-satunya sistem ring daripada punca bekalan berbeza berbanding dahulu yang hanya bergantung kepada satu sistem ring sahaja.

Sebagai contoh, katanya, jika Kinarut menghadapi masalah gangguan elektrik, feeder di Lok Kawi boleh mengambil alih penyaluran bekalan yang terganggu itu.

Selain itu, SESB juga sedang merancang membina tujuh buah feeder lagi di sekitar Kota Kinabalu khususnya di kawasan Putatan dan Jalan Lama Penampang, namun projek ini perlu mendapatkan kebenaran laluan daripada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, feeder yang sudah dibina ini memberikan impak positif terhadap kestabilan bekalan elektrik dan juga System Average Interuption Duration Index (SAIDI) di sekitar kawasannya.

Sementara itu, Fuad juga menjelaskan bahawa SESB akan meneruskan operasi pembanterasan penyambungan elektrik haram dari masa ke semasa. Operasi ini akan mendapat kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Tenaga dan Polis.

“Operasi ini akan diadakan di kawasan-kawasan seperti sekitar perumahan setinggan serta kawasan perindustrian yang disyaki menjalankan kegiatan penyambungan haram ini.

“Setakat ini, SESB telah melakukan sebanyak 104 operasi yang melibatkan sebanyak 144 kawasan penempatan di seluruh Sabah,” katanya.

Tambahnya, SESB akan mengambil tindakan menerusi Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membolehkan SESB mengambil tidakan sivil ke atas pesalah-pesalah ini. Setakat ini, SESB sudah menyelesaikan beberapa kes sivil dan ada juga kes yang masih menunggu Suruhanjaya Tenaga untuk membawa kes itu ke Mahkamah.