Kerajaan akan bantu PDK Siburan dan PDK Mambong

0

PERIHATIN: Dawos (dua kanan) menyerahkan wang bantuan kepada salah seorang kanak-kanak OKU sambil diperhatikan oleh Cyrill (kanan) dan Austin (tengah).

Dawos jamin akan pantau, pastikan keperluan OKU dipenuhi

KUCHING: Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit semalam memberi jaminan untuk memberi bantuan kepada dua Pusat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) iaitu PDK Siburan dan PDK Mambong.

Katanya, beliau akan terus memantau kedua-dua PDK tersebut yang membantu golongan orang kurang upaya (OKU).

Sehubungan itu, beliau akan terus berhubung dengan pengerusi di kedua-dua PDK tersebut untuk tujuan tersebut.

“Saya akan selalu bersama kedua-dua PDK ini, dan dari semasa ke semasa,  saya akan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pengerusinya untuk melihat keperluan PDK-PDK tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan wang bantuan dan kerusi roda kepada OKU-OKU daripada kedua-dua PDK tersebut di Dewan Masyarakat Kota Padawan.

Dalam majlis tersebut, seramai 206 OKU menerima di antara RM500 dan RM1,000 di bawah Program Mayang.

Pada majlis yang sama, Dawos turut menyerahkan 29 kerusi roda, 10 unit komputer, dua buah pencetak dan dua mesin pengimbas kepada kedua-dua PDK tersebut.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Mambong berkata, golongan OKU benar-benar memerlukan bantuan untuk dapat berdikari sekali gus dapat menjalani kehidupan seperti orang lain.

“Mereka (OKU) tidak meminta dilahirkan sedemikian rupa, tetapi mereka dilahirkan sebegitu..jadi, kita mesti membantu mereka,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menggesa keluarga bagi pihak kanak-kanak OKU untuk mendaftar ke mana-mana PDK tersebut bagi membolehkan mereka menerima bantuan yang sepatutnya.

Menurutnya, masih ramai golongan tersebut yang masih belum mendaftar dengan PDK.

Terdahulu, menurut pengerusi penganjur, Austin Diman, ada di kalangan kalangan keluarga kanak-kanak OKU tidak mahu mendaftarkan anak-anak mereka kerana perasaan malu.

Jelasnya, sikap tersebut perlu dikikis untuk kebaikan kanak-kanak OKU.

Dalam pada itu, Austin berharap agar Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk melakukan sesuatu terhadap kekurangan kakitangan di PDK-PDK ini.

Menurutnya, PDK Mambong kini mempunyai 126 OKU tetapi hanya mempunyai tujuh orang kakitangan sahaja manakala PDK Siburan mempunyai 192 OKU dan 11 orang kakitangan.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pegawai Tadbir Negeri Siburan Wilson Spilak Asui dan Pengerusi PDK Mambong Prof Madya Dr Ernest Cyrill De Run.