Pekadin sokong wujud kampus UMS di Keningau

0

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) menyifatkan keputusan kerajaan untuk mewujudkan kampus cawangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Keningau, bahagian pedalaman Sabah, sebagai langkah bijak serta sesuai dengan tuntutan semasa.

Penasihat Pekadin, Latif Kandok berkata pengwujudan kampus cawangan itu akan membolehkan lebih ramai pelajar luar bandar berpeluang meneruskan pelajaran hingga ke peringkat menara gading.

“Ini merupakan idea yang baik, sekaligus membuktikan kerajaan benar-benar mengutamakan kepentingan pelajar luar bandar atau pedalaman selaras dengan aspirasi 1Malaysia.

“Apa juga inisiatif yang baik untuk rakyat kita sokong dan Pekadin berharap kampus cawangan UMS itu dapat membantu merancakkan lagi pembangunan pendidikan dan modal insan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Latif berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan UMS mewujudkan kampus cawangan di Keningau yang mana projek pembinaannya dijangka bermula penghujung tahun ini.

Jumaat lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dipetik berkata bahawa kerajaan Sabah bersedia meluluskan permohonan UMS untuk mendapatkan kawasan tanah seluas 12 hektar di Kampung Apin-Apin, Keningau yang sudah dikenal pasti untuk tujuan itu.

“Selain kampus induk UMS di Kota Kinabalu yang tersergam indah, UMS juga ada cabang di Labuan dan Sandakan yang sekarang ini hampir siap, dan InsyaAllah kampus cawangan Keningau akan mula dibangunkan tidak lama lagi,” kata Musa.

Untuk permulaan, kampus cawangan Keningau hanya menawarkan program asasi sains.

Sementara itu, Latif turut berharap agar kerajaan dapat mempercepatkan penubuhan Kolej KDM di Sabah.

Pada 21 Mei lepas, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengumumkan bahawa Kolej KDM akan dibina di kawasan Kaingaran, Tambunan.

Beliau berkata, pegawai daerah Tambunan telah diarah untuk mengenalpasti lokasi sebenar pembinaan kolej itu.

“Saya sendiri akan buat tindakan susulan (follow-up) perkara ini dengan pihak yang berwajib untuk memastikan cadangan penubuhan Kolej KDM ini dapat direalisasikan,” kata Pairin.