Remaja Nigeria maut selepas kereta terbabas

0

MIRI: Seorang remaja perempuan warganegara Nigeria mati selepas kenderaan yang dinaikinya bersama dua lagi rakannya terbabas awal pagi Ahad.

Kejadian berlaku berhampiran lampu isyarat Lutong pada kira-kira 5 pagi semalam.

Mangsa, yang dikenali sebagai Jimoh Fatimah, 17, merupakan penumpang bahagian depan kereta jenis Toyota Vios yang dipandu rakan lelakinya.

Manakala seorang lagi rakan mangsa, seorang wanita, yang duduk di bahagian belakang hanya mengalami kecederaan ringan.

Kedua-dua rakan mangsa telah dihantar untuk rawatan lanjut di sebuah pusat perubatan swasta.

Jimoh disahkan meninggal dunia di Hospital Miri kerana kecederaan serius yang dialaminya.

Menurut sumber, kereta berwarna hitam tersebut dilihat melanggar parit konkrit di tepi jalan berhampiran lampu isyarat Lutong sebelum berpusing semula ke jalan utama.

Ketiga-tiga rakan tersebut dalam perjalanan balik ke Senadin dari pusat bandar raya sebelum kejadian.

Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kejadian.

REMUK: Kereta Vios remuk teruk selepas kejadian.