Pelbagai mi Malaysia disajikan pada Festival Makanan di New York

0

FESTIVAL makanan Malaysia pada 27 September ini di lokasi yang dikenali sebagai ‘daerah pembungkusan daging’ di sini akan memaparkan pelbagai hidangan berasaskan mi.

Acara ‘Dapur Malaysia Kepada Dunia’ adalah sebahagian daripada kempen oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk mempromosikan sajian dan restoran Malaysia di New York.

Disifatkan oleh MATRADE sebagai sebuah ‘pesta makanan penjaja besar-besaran’, acara itu menampilkan buat julung kali ‘Festival Sajian Mi Malaysia’ yang akan memaparkan beraneka hidangan makanan Malaysia yang berasaskan mi oleh restoran di bandar raya New York dan kawasan yang dikenali sebagai Tri-State.

Acara itu dijangka menarik kunjungan orang ramai memandangkan program Dapur Malaysia yang diadakan sebelum ini di venue yang sama berjaya menarik kedatangan pekerja pejabat dan petugas dalam sektor lain semasa waktu rehat tengah hari atau ketika pulang ke rumah selepas habis bekerja.

Menurut pejabat MATRADE di New York, gerai makanan itu akan dihiasi indah, dilengkapi khemah, payung dan tanglung eksotik yang mengimbas kembali pemandangan pasar terbuka di Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Melaka.

Festival Sajian Mi Malaysia akan menonjolkan beraneka jenis rasa dan tekstur hidangan berasaskan mi, daripada ‘Laksa’ hinggalah kepada ‘Hokkien Mee’, dengan menawarkan masakan yang mempunyai pengaruh Melayu, Cina dan India.

Sumber MATRADE memberitahu Bernama bahawa makanan itu dijual pada harga yang rendah iaitu sekitar AS$4 hingga AS$8 (kira-kira RM12-RM24).

MATRADE menggambarkan Dapur Malaysia Kepada Dunia sebagai inisiatif global yang bermatlamat ‘mendidik dan memberi maklumat kepada pengguna’ tentang sajian Malaysia dan restoran Malaysia di seluruh dunia.

Kempen di New York ini bertujuan menyemarakkan minat dalam kalangan penggemar makanan di Amerika untuk mencuba sajian Malaysia dan mengunjungi restoran Malaysia di kawasan metropolitan New York di samping lokasi lain di Amerika Syarikat.

Daerah ‘pembungkusan daging’ New York secara kasarnya bermula dari West 14th Street ke Gansevoort Street, dan diberi jolokan ‘pembungkusan daging’ memandangkan pada masa dahulu ia menjadi tumpuan kira-kira 250 rumah sembelihan dan kilang pembungkusan daging yang diwujudkan di kawasan berkenaan pada 1900.

Perniagaan daging itu, bagaimanapun, menurun dengan mendadak selama beberapa tahun dan daerah itu kini dipenuhi oleh bangunan pejabat dan butik. — Bernama