Pembukaan pasar raya Giant penanda aras baru industri peruncitan di Sibu

0

SIBU: Pembukaan Pasar Raya Besar Giant Sibu mengukir satu tanda aras baru bagi industri peruncitan di negeri ini, khususnya di Sibu.

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah isteri Ketua Menteri Puan sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Kewangan II dan juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dato Sri Wong Soon Koh, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Episo Datuk David Goh Kien Ping dan Ketua Pegawai Operasi GCH Retail (Malaysia) Tom Herriot.

Pelbagai produk menarik yang ditawarkan pada harga rendah boleh didapati di pasar raya berkenaan setiap hari.

Sejumlah RM12 juta dilaburkan bagi membangunkan pasar raya besar berkenaan yang diharapkan dapat membantu menjana hasil sampingan kepada ekonomi penduduk tempatan.

Selain berusaha untuk mengwujudkan persekitaran pelaburan, Pasar Raya Besar Giant turut membuka konsep berdaya saing di kalangan peniaga di samping meletakkan status yang boleh dijadikan sebagai penanda aras oleh peruncit-peruncit lain di Malaysia.

Gaint juga berperanan sebagai penyokong utama kempen kerajaan bagi memastikan harga yang ditawarkan adalah rendah dan berpatutan.

Di samping itu, Pasar Raya Besar Giant juga turut mengwujudkan kompleks pasar raya besar yang moden di mana rakyat di negara ini boleh mendapatkan segala barangan keperluan mereka yang berkualiti di bawah satu bumbung.

Melalui cara sedemikian, para pelanggan dapat menjimatkan masa mereka dengan hanya membuat satu kunjungan setiap kali mereka membeli-belah bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

Dianggar kira-kira 300 peluang pekerjaan dibuka kepada penduduk tempatan dan luar selain meningkatkan peluang perniagaan melalui penyewaan kedai-kedai yang disediakan di kompleks pasar raya berkenaan.

Polisi Giant yang mengutamakan ganjaran kepada pembekal setempat bakal mempromosikan industri asas tani dan industri makanan negeri Sarawak.

Segala produk yang dihasilkan di negeri ini akan diedarkan ke Pasar Raya Besar Giant di seluruh negara.

Lebih 100,000 barangan yang terdiri daripada makanan segera dan sayur-sayuran, makanan, barangan keperluan harian, barangan am seperti perkakas rumah, barangan elektrik, pakaian, kasut dan alat tulis dimuatkan ke dalam pasar raya besar berkenaan.

Sempena pembukaan pasar raya besar berkenaan, Giant akan menawarkan diskaun dan tawaran hebat bagi lebih 400 jenis barangan.