Sarawak kedua teratas kes nikah kerana keterlanjuran

0

Ianya bukan sesuatu yang membanggakan terutama melibatkan golongan bawah umur, kata FatimahKUCHING: Tersenarai dalam kedudukan kedua teratas dalam statistik permohonan nikah bawah umur akibat ‘terlanjur’ Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi seluruh negara bukan sesuatu yang membanggakan untuk Sarawak.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara UCSI dengan Bristish Council di UCSI University Kampus Sarawak, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah memberitahu kes itu menuntut perhatian serius dari semua pihak kerana mencerminkan tahap kesihatan sosial di negeri ini.

“Saya agak terkejut melihat Sarawak tersenarai di tangga kedua bagi kes golongan bawah umur yang memohon untuk bernikah kerana terlanjur sebab saya percaya, masih banyak yang tidak dilaporkan dan ini sesuatu yang agak menakutkan.

“Justeru, semua pihak harus ambil iktibar dan meneliti perkara ini secara serius kerana ia mencerminkan tahap kesihatan sosial di negeri kita, dari segi keutuhan institusi keluarga dan juga moral kita,” katanya di sini, semalam.

Kelantan mendahului statistik itu, diikuti Sarawak dan kemudiannya Sabah.

Fatimah berkata, perkara itu juga boleh dikategorikan sebagai kes rogol kerana membabitkan individu bawah umur sekali gus salah di sisi undang-undang.

Terdapat juga yang memilih cara mudah yang bertentangan dengan agama iaitu dengan menggugurkan kandungan

Katanya, pengguguran sekiranya dilakukan dengan kerap akan membahayakan kesihatan seseorang individu itu.

“Lebih menyedihkan apabila kanak-kanak itu terpaksa mengundur diri dari persekolahan, kerana mereka ini adalah modal insan kita, sumber tenaga kerja kita,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada individu tersebut sekiranya perkahwinan itu tidak berkekalan memandangkan pendidikannya yang terbantut.

Disebabkan itu, katanya kerajaan menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi pendidikan seks ke sekolah-sekolah untuk memberi ceramah mengenai ketelanjuran hamil luar nikah impak dan kesannya.

“Jangan melangkau batas yang akan mendatangkan penyesalan seumur hidup … sangat menyedihkan kes seumpama ini berlaku (di Sarawak),” katanya.