Telco sepatutnya kurangkan kadar caj

0

Mereka sebenarnya dengan mudah boleh menyerap cukai dan masih untung besar

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) semalam meminta sayarikat-syarikat telekomunikasi (telco) untuk menaiktaraf perkhidmatan mereka serta menurunkan kadar caj yang dikenakan, bukannya membebankan rakyat dengan mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan telefon prabayar.

Naib Presiden MTUC A. Balasubramaniam berkata, adalah tidak adil bagi syarikat-syarikat berkenaan mengenakan cukai itu kepada pengguna sedangkan mereka dengan mudah boleh menyerapnya dan masih mengaut keuntungan besar.

Beliau mengulas mengenai langkah syarikat telco untuk mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan telefon prabayar mulai Khamis ini.

Minggu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan untuk mengenakan cukai itu tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Balasubramaniam berkata, cukai itu akan menjadi beban yang besar kepada pekerja biasa memandangkan mereka adalah golongan yang paling ramai menggunakan perkhidmatan telefon prabayar.

“Pekerja kini terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan dengan upah yang murah, oleh itu cukai tambahan pasti akan menambah beban kepada mereka,” katanya.

Beliau mencadangkan sebagai warga korporat yang baik, syarikat telco boleh mengurangkan beban masyarakat dengan menyediakan caj panggilan yang murah dan liputan yang lebih luas. — Bernama