Kegagalan kotakan janji bakal beri impak pada PRU

0

KUCHING: Kegagalan kerajaan mengotakan janji pilihan raya April lepas di kawasan Tasik Biru mungkin akan memberi impak terhadap pilihan raya umum akan datang.

Ahli Jawatankuasa PKR Mas Gading, Boniface Willy Tumek yang mewakili penduduk Kampung Skibang, Bau melahirkan kekesalan terhadap beberapa wakil rakyat di kawasan mereka kerana gagal melaksanakan projek kecil.

Walaupun perkara itu nampak remeh tetapi kegagalan wakil rakyat itu untuk menjalankan tanggungjawab membawa seribu makna.

“Lebih buruk apabila sekarang ini kita tahu terdapat pergolakan dalam parti dan itu bermakna lebih banyak berita buruk kepada kita.

“Bagaimana mereka mahu memperjuangkan dan melindungi hak-hak lebih besar seperti kebebasan beragama, peluang yang sama untuk anak-anak kita di institusi pengajian tinggi, akses yang sama untuk diberi biasiswa kerajaan, pekerjaan di sektor kerajaan, peluang-peluang untuk perniagaan dan mengekalkan harga barang-barang keperluan apabila mereka sibuk berperang antara satu sama lain,” katanya pada sidang media, semalam.

Wakil rakyat di kawasan itu adalah Datuk Dr Tiki Lafe selaku Ahli Parlimen Mas Gading dan Datuk Peter Nansian Ngusie selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru.

Sebagai contoh, katanya jentera pilihan raya SPDP berjanji akan menurap jalan raya yang hanya sepanjang 1.5 kilometer itu dengan segera sekiranya menang.

Tambahnya, walaupun sekarang sudah lebih empat bulan pilihan raya negeri diadakan tetapi tidak ada petunjuk pun projek penurapan jalan raya itu akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Turap jalan raya di kampung kami sebelum hujung tahun ini untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan kami terhadap anda (kerajaan).

“Sebagai rakyat Malaysia dan penyokong setia BN, kita mempunyai jangkaan tertentu yang kerajaan bertanggungjawab untuk penuhi,” katanya.