Pencapaian bersejarah

0

KERJASAMA ERAT: (Dari kanan) Awang Abdullah dan Shaziman menandatangani plak perasmian tapak jambatan.

Malaysia-Brunei kukuh hubungan dua hala menerusi pembinaan Jambatan Pandaruan.

LIMBANG: Pembinaan jamba-tan Sungai Pandaruan merupakan pencapaian bersejarah da-lam hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei bagi me-lonjak pertumbuhan ekonomi dalam Kawasan Pertumbuhan Asean Timur (BIMP-EAGA) dan rangkaian prasarana perhubungan bagi penbentukan Komuniti ASEAN 2015 nanti.

Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan, Negara Brunei, Datuk Paduka Awang Alaihuddin Datuk Seri Utama Awang Mohd Taha berkata, apabila siap nanti, ia akan memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara.

Beliau berkata, pembinaan jambatan tersebut juga akan melancarkan lagi sistem perhubungan dua negara, melibatkan laluan sepanjang Jalan Pan Borneo, selain menghubungkan Daerah Temburong di Negara Brunei dan bandar Limbang di Sarawak.

“Jambatan ini memudahkan serta membantu kita melancarkan perjalanan dan dapat membuka peluang yang lebih meluas bagi meningkatkan ekonomi, perniagaan dan pelancongan antara ke-dua-dua buah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Tapak Projek Cadangan Membina Jambatan Menyeberangi Sungai Pandaruan di Daerah Temburong, Brunei semalam.

Turut hadir ialah Menteri Perhubungan Negara Brunei Datuk Seri Setia Awang Abdullah Datuk Paduka Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Perancangan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Men-teri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Mic-hael Manyin Jawong serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Abdullah Sani Omar.

Awang Alaihuddin berkata cadangan pembinaan jambatan itu pernah dibuat di peringkat BIMP-EAGA sebelum ini.

“Namun demikian, ia telah diangkat ke peringkat dua hala di antara Negara Brunei dan Malaysia.

“Hasrat untuk membina jambatan di kawasan ini telah pun di-suarakan oleh pemimpin kedua-dua negara dalam kenyataan bersama semasa Mesyuarat Perun-dingan Tahunan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia pada tahun 2006 dan 2010,” katanya.

Beliau memberitahu usaha ter-sebut mampu meningkatkan ke-sinambungan di rantau ASEAN selaras dengan kehendak Pelan Induk Perhubungan ASEAN (MPAC) yang menekankan proses integrasi melalui prasarana fizikal, institusional serta hubungan rakyat.

“Usaha ini juga selaras dengan hasrat untuk menubuhkan Komuniti ASEAN pada tahun 2015.

“Kedua-dua pihak juga telah bersetuju pada dasarnya untuk membukakan tawaran tender kepada penender berkelayakan di kedua buah negara yang dijangka akan dibuat pada bulan Disember 2011,” katanya lagi.

Projek ini dapat dimulakan pembinaannya selewatnya pada awal bulan April 2012.

Katanya lagi sebuah ‘Joint Bridge Management Committee’ juga akan ditubuhkan sebaik sahaja jambatan ini siap nanti dan beroperasi bagi memastikan jambatan ini akan terpelihara dengan baik dan selamat.

Pada majlis itu, Menteri Perhubungan Brunei dan Menteri Kerja Raya Malaysia turut menandatangani plak perasmian tapak ber-kenaan diikuti dengan lawatan ke sekitar tapak projek membina jambatan tersebut di kedua-dua belah tebing sungai.

Jambatan Pandaruan yang bernilai sekitar RM23 juta dibina dengan ketinggian lima meter, saiz selebar 14 meter dan panjang sejauh 200 meter.