Dr Tiki enggan jawab soalan politik

0

KUCHING: Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe enggan menjawab soalan berkaitan politik terutama tentang isu mempertahankan kerusi yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Ketika dihubungi semalam beliau sekadar memaklumkan bahawa pada masa itu (ketika dihubungi) beliau sedang menghadiri satu mesyuarat yang tidak diketahui di mana dan mengenai apa.

Dr Tiki yang merupakan seorang daripada lima wakil rakyat Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin parti dikatakan mengadakan sidang media di Bau pada jam 2 petang semalam.

“Mana ada (sidang media)… tengah bermesyuarat sekarang,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Kelmarin, Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom berkata Dr Tiki yang juga Naib Presiden SPDP belum menyatakan keputusan sama ada akan bertanding semula mempertahankan kerusi tersebut pada PRU kelak.

SPDP menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi kelmarin mencapai kesepakatan untuk mencalonkan semula Ahli Parlimen Baram Datuk Jacob Dungau Sagan, Ahli Parlimen Saratok Jelaing Mersat dan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing pada PRU.

Dr Tiki menang di Mas Gading pada PRU 1999, 2004 dan 2008, dan semua membabitkan musuh politik tradisinya Dr Patau Rubis.

Beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pada 2004, tetapi tidak dilantik semula pada 2008 yakni selepas PRU 2008.