Monday, April 12

Finalis S’wak Youth Wakeboard Cup dapat bimbingan jaguh dunia

0

PENGALAMAN BARU: Gina (duduk dua kanan) dan Shaun (duduk dua kiri) merakamkan kenangan bersama finalis The Sarawak Youth Wakeboard Cup, semalam. — Gambar Ismail Hassan

KUCHING: Enam finalis The Sarawak Youth Wakeboard Cup semalam berpeluang mendapat tunjuk ajar dan nasihat daripada jaguh wakeboard dunia iaitu Gina Faccio, 22, dan Shaun Faccio, 25.

Mereka ialah Arafan Edruce, 21, Dzarki Bohari, 23, Muhammad Zahhar,16, Muhammad Zaim, 10, Hadi Hizawan, 15, dan Hasfarazy, 21, serta dua peserta simpanan iaitu Muhamad Azizudin, 22, dan Nur Qamarina, 14.

Pengerusi Pertandingan Piala Dunia Persekutuan Papan Luncur dan Luncur Air Antarabangsa (IWWF), Hanifah Yoong berkata, kesemua finalis tersebut sudah bersedia untuk beraksi pada 17 September ini selepas mengikuti latihan selama dua bulan di Tebingan Kuching.

“Kita menjalankan latihan di sini (Tebingan Kuching) dan mereka semua sudah bersedia untuk beraksi pada Sabtu ini, walaupun baru hanya dua bulan mengikuti latihan.

“Justeru, kita mengharapkan nasihat dan perangsang yang diberikan oleh bintang wakeboard dunia ini (Gina dan Shaun) akan dapat meningkatkan lagi semangat peserta wakeboard kita,” katanya.

Menurutnya, Gina dan Shaun merupakan pasangan adik beradik berasal dari Afrika Selatan mempunyai rekod pencapaian cemerlang dalam sukan wakeboard peringkat dunia.

Gina pada sesi tersebut memberitahu mereka berbangga melihat prestasi finalis The Sarawak Youth Wakeboard Cup.

“Kami gembira membantu usaha untuk membina warisan sukan wakeboard di Sarawak.

“Selain itu, kami juga mahu menyumbang kepada pembangunan sukan ini dan  daripada apa yang dilihat oleh kami, pencapaian peserta ini sudah cukup membanggakan kerana mereka baru dua bulan mengikuti latihan ini,” katanya.

Acara utama Pro-Men dan Pro-Women akan diadakan bermula esok sehingga Ahad ini dan bintang wakeboard dari Florida pula akan membuat pertunjukkan pada Sabtu dan Ahad.

The Sarawak Youth Wakeboard Cup merupakan kali pertama dianjurkan pada tahun ini sempena dengan Regata Sarawak 2011.