Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Setar cari waris dua bayi

0

ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencari ibu, bapa atau waris kepada seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan yang telah ditinggalkan sejak beberapa bulan lepas.

Pelindung Kanak-kanak Pejabat JKM Daerah Kota Setar Mohd Basharudin Samsudin berkata bayi perempuan itu dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 4 Jun lepas dan ibu kandungnya yang merupakan warganegara Laos menghilangkan diri selepas dua hari bayi itu dilahirkan.

Bayi lelaki itu ditinggal oleh seorang wanita dipercayai ibu bayi itu kepada sepasang suami isteri di hadapan stesen bas Shahab Perdana di sini pada 28 Julai lalu, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Bayi itu kini dijaga sementara oleh pasangan itu, katanya.

Beliau berkata ibu bapa atau waris diberi tempoh sebulan untuk menuntut kedua-dua bayi itu sebelum JKM mengambil tindakan lanjut seperti menyerahkan mereka kepada keluarga pelihara yang difikirkan layak dan sesuai mengikut undang-undang.

Waris bayi berkenaan diminta menghubungi Mohd Basharudin atau Rosmini Meh di talian 04-7202370/7202351. — Bernama