Saturday, April 17

Jacqueline buru emas SEA

0

KUCHING: Juara dunia, Jacqueline Jenelee Sijore tidak sabar untuk menyertai Kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) di Jakarta November depan.

Beliau akan memburu pingat emas di mana beliau mungkin akan bertanding dalam acara perseorangan, beregu, tiga berpasukan wanita, beregu campuran, acara master dan berpasukan pada penampilan sulung beliau di Sukan SEA.

“Saya memburu pingat emas di Jakarta. Pemain boling wanita Singapura agak bagus tetapi saya fikir Malaysia akan melakukan yang lebih baik kali ini,” kata beliau setiba beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) malam kelmarin bersama ayahnya, Patrick Sijore.

Pemain berusia 19 tahun dari Kuching itu dinaikkan ke skuad kebangsaan wanita tahun lepas, memenangi pingat emas perseorangan wanita pada Kejohanan Dunia Wanita di Hong Kong pada 4 September lalu dengan menewaskan pemain Korea Selatan, Son Yon-Hee di final.

“Saya masih cuba menerima kejayaan ini. Ia satu perasaan yang luar biasa untuk menjadi juara dunia,” kata Jacqueline, yang masih menikmati kegembiraan daripada pencapaian luar biasa di Hong Kong.

Beliau akan berehat seketika di Kuching sehingga Ahad ini dan akan kembali menyertai skuad kebangsaan untuk latihan bagi persiapan ke Sukan SEA.

Sementara itu, Presiden Persatuan Boling Ten-Pin Amatur (ABAS), Sunny Sii berkata, ia adalah di luar jangkaan beliau di mana Jacqueline boleh memenangi kejuaraan dunia.

Beliau berkata, prestasi Jacqueline pada Kejohanan Dunia adalah luar biasa kerana beliau adalah pemain boling pertama dari Sarawak yang memenangi pingat emas perseorangan dalam satu kejohanan dunia.

Kali terakhir seorang pemain dari Sarawak memenangi pingat emas ialah Johnathan Lim pada 2004 di mana beliau adalah salah seorang anggota pasukan Malaysia yang memenangi Piala Berpasukan Dunia di Odensk, Finland.

Sii memuji anggota ABAS, jurulatih dan pegawai di atas komitmen tinggi, dedikasi, kesungguhan dan kerjasama dalam membawa sukan ini ke peringkat lebih tinggi.

“Kami melakukan pengorbanan, bertelagah tentang beberapa isu dan pandangan tetapi kami bekerja dengan baik sebagai sebuah pasukan dan kami tidak hilang sasaran yang mahu kami capai,” tambah Sii.

“Kami berharap pencapaian Jacqueline akan menjadi inspirasi bukan saja di kalangan pemain muda untuk berjaya di peringkat dunia tetapi juga membangkitkan inspirasi jawatankuasa ABAS, jurulatih dan pegawai sukan serta menerapkan kesungguhan tinggi untuk berjaya dalam sukan ini.

“Jika seseorang itu berjaya, semua orang akan berkongsinya dan ia juga akan memberikan satu pesanan kepada ibu bapa bahawa kami serius dalam sukan kami,” kata beliau.

“Kami serius apabila melibatkan sukan boling dan ia juga akan diterapkan ke dalam pemain boling kami sama ada mereka pemain peringkat Sukma atau dunia bahawa dalam apa jua yang mereka mahukan dalam kehidupan, mereka akan memperolehinya jika bekerja-keras.”

Sii juga berharap kejayaan Jacqueline akan membuka babak baru dalam sejarah boling di negara ini.