Saturday, April 17

Kos pembinaan PBR dikaji

0

KEMUDAHAN KERAJAAN: Hasbi (empat kanan) menyerahkan sumbangan kepada Ketua Kampung Limpaku Pinang Simatzaman (tiga kanan) dalam lawatan kerjanya bersama para pegawai KKLW semalam.

LIMBANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sedang melakukan kajian semula bagi kos pembinaan Projek Bantuan Rumah (PBR) di kawasan terpencil dan sukar dihubungi berikutan rungutan ramai kontraktor yang rugi ketika melaksanakan projek tersebut.

Penolong Setiausaha KKLW Rasmi Mide berkata kos bagi pembinaan PBR di kawasan luar bandar tidak releven dengan kos yang ditetapkan kerajaan sekarang.

Jelasnya kebanyakan kontraktor mengalami kerugian sekitar RM4,000 hingga RM5,000 untuk membina PBR di kawasan yang agak jauh dan terpencil.

“Saya sendiri turun padang melihat kawasan dan jarak pengangkutan bagi pembinaan PBR di kawasan pedalaman dan sukar dihubungi.

“Maklumat ini akan dihantar kepada kerajaan untuk membuat nilai kadar sebenar bagi sebuah PBR sejajar dengan jarak pengangkutan dan kos lain,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini semalam.

Turut sama ialah Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Pengurus Kewangan Felcra Berhad Shahriman Teruna, Pegawai Khas Ahli Parlimen Limbang Mohamad Abu Bakar dan jemputan lain.

Rasmi berkata kos PBR khususnya di kawasan pedalaman tidak setimpal dengan kos yang ditetapkan sekarang.

Jelasnya kebanyakan kontraktor terpaksa menanggung kos pengangkutan sekitar RM3,000 untuk menyewa sebuah bot yang membawa bahan-bahan binaan terutama melibatkan Kampung Bulantak, Limpaku Pinang di sini.

“Ada kebenaran kos sekarang tidak relevan dan perlu mengikut kedudukan kawasan dan harga bahan binaan lain,” jelasnya.

Sementara itu Hasbi yang turut melakukan lawatan kerja ke Kampung Bulantak dan Kampung Limpaku Pinang turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada penduduk di Bulantak.

Sumbangan tersebut digunakan untuk membeli sebuah bot dan enjin sangkut 15 kuasa kuda sebagai pengangkutan untuk menghantar anak penduduk Kampung Bulantak ke sekolah sekolah di Kampung Limpaku Pinang.

Kemudahan tersebut katanya penting dan memudahkan anak-anak mereka ke sekolah setiap hari.

Kampung Bulantak merupakan antara kampung yang terpencil dan terletak di kawasan muara Sungai Limbang dan berdekatan dengan Negara Brunei.

Kampung berkenaan belum mempunyai bekalan elektrik dan air paip dan hanya bergantung kepada air hujan dan kemudahan jana kuasa (generator).

Selain Bulantak, Hasbi turut menyerahkan sumbangan kepada persatuan nelayan Kampung Limpaku Pinang.