Lapan banduan terpilih bertemu keluarga kerana tingkah laku baik

0

RINDU KELUARGA: Seorang banduan mencium bayi lelakinya berusia setahun setengah bulan semasa keluarganya melawat beliau di Penjara Reman Pulau Pinang di Georgetown, semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah lapan banduan di Penjara Reman Pulau Pinang di sini semalam apabila mereka terpilih mengikuti program Jalinan Kasih Aidilfitri yang memberi mereka peluang bertemu anggota keluarga masing-masing.

Mereka diberikan peluang keemasan itu kerana tingkah laku baik sepanjang berada di penjara itu.

Seorang banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 29, berkata kedatangan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna kerana berpeluang menyambutnya bersama-sama anggota keluarga.

“Ini merupakan kali pertama saya dapat berjumpa keluarga secara dekat, dapat memeluk kedua ibu bapa saya sambil memohon ampun dan maaf atas segala kesalahan yang dilakukan, saya bersyukur diberi peluang,” katanya yang dipenjarakan kerana kesalahan samun, dua tahun lepas.

Seorang lagi penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 35,  turut melahirkan kegembiraan apabila diberi peluang bertemu isteri, anak serta ibunya.

“Saya berazam untuk tidak mengulangi kesilapan lampau dan menyesal dengan kesilapan masa lalu,” katanya yang berasal dari Kulim, Kedah, yang dipenjarakan sejak tahun 2008 kerana kesalahan merompak.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Rosoman Abu Bakar berkata kesemua lapan penghuni itu diberi peluang berikutan sikap positif dan tingkah laku yang baik sepanjang mereka berada di penjara tersebut.

Katanya aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada program pemulihan atau jalinan kasih yang dirancang untuk memberi pemulihan kepada banduan melalui sokongan keluarga.

“Program berkenaan memberi peluang kepada banduan untuk berjumpa keluarga secara dekat dan bersemuka berbanding sebelum ini mereka hanya boleh bercakap melalui telefon tetapi hari ini mereka dapat berjumpa dan memeluk anggota keluarga masng-masing,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Kira-kira 30 anggota keluarga lapan penghuni penjara berkenaan hadir dalam program selama kira-kira dua jam itu.

Rosoman berkata Penjara Reman Pulau Pinang kini dihuni seramai 624 orang dan daripada jumlah itu, 112 penghuni merupakan banduan yang sedang menjalani hukuman manakala 512 orang lagi berada dalam tahanan reman. — Bernama