Pembelajaran BI wajar diberi penekanan awal

0

KUCHING: Penekanan pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) sewajarnya bermula di peringkat sekolah rendah lagi sebagai penyediaan asas kukuh penguasaan subjek itu di peringkat sekolah menengah.

Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata bagi tujuan itu guru-guru BI terlatih hendaklah dibekalkan secara menyeluruh dan sekolah rendah tidak terkecuali.

“Selain daripada aspek penyediaan guru, KGBS turut mencadangkan agar silibus mata pelajaran BI sekarang khususnya di peringkat sekolah menengah dikaji semula.

“Contohnya dalam silibus sekarang pelajar terpaksa mempelajari komponen sastera yang terdiri daripada elemen novel, cerpen dan puisi sebagai elemen tambahan dalam silibus BI,” katanya.

Beliau menambah faktor itu sudah tentu menjadi bebanan yang akhirnya boleh melemahkan motivasi pelajar untuk mempelajari BI kerana mereka juga terpaksa menelaah komponen sastera yang mengandungi banyak elemennya.

“Sedangkan hasrat pembelajaran BI adalah untuk memboleh dan memastikan pelajar dapat menguasai aspek tatabahasa serta komunikasi sebagai asas membolehkan mereka meneruskan kehidupan pada mada akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan subjek BI akan diperkenalkan sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata ia bergantung kepada kesediaan jumlah penempatan guru BI di seluruh negara.

Beliau dalam portal TV3 baru-baru ini berkata: “Ada orang meminta kita (kerajaan) mewajibkan lulus BI di peringkat SPM, itu kita sedang teliti, kaji. Kalau punya jumlah guru BI yang mencukupi, kita boleh hantar di semua sekolah di seluruh negara dengan kurikulum baru.

“Mungkin sampai waktu kita akan letak sasaran wajib lulus (BI di peringkat SPM).”

Ahmad menambah, KGBS menyambut baik cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia itu dan berpendapat sudah tiba masanya perkara tersebut dilaksanakan dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi penguasaan para pelajar dalam subjek berkenaan.

“Sekiranya faktor-faktor ini dapat diambil kira KGBS yakin usaha untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar akan berjaya walaupun hasilnya tidak dapat dilihat dalam masa singkat,” katanya.