RM424,000 MRP diagih kepada 49 JKKK, Biro Wanita

0

LUBOK ANTU: Sejumlah RM424,000 peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) telah diagihkan kepada 49 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita di kawasan pilihan raya Lubok Antu buat kali kedua bulan ini.

Kesemua RM424,000 itu merupakan peruntukan MRP daripada Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak yang diagih kepada JKKK dan Biro Wanita di kawasan itu bagi tujuan pembangunan kampung atau rumah panjang masing-masing di kawasan pilihan rayanya.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM128,000 MRP telah diserahkan Nyalau kepada 19 JKKK dan Biro Wanita di Lubok Antu sempena majlis yang diadakan di Rumah Agat, Setapang, Lubok Antu pada 6 September lalu.

Manakala RM296,000 disampaikan Nyalau kepada 37 JKKK dan Biro Wanita di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dengan kerjasama JKKK di Rumah Jamit Jemat, Pudai, Lubok Antu, di sini, semalam.

Beliau ketika berucap pada majlis itu berharap agar JKKK dan Biro Wanita yang menerima peruntukan daripada kerajaan BN agar memanfaatkan sepenuhnya peruntukan MRP itu.

Menurutnya, ini merupakan pusingan kedua buatnya menyalurkan MRP kepada rakyat di bawah pilihan rayanya pada bulan ini dan akan dilakukan lagi di kawasan lain selepas ini.

“Saya ingin mempastikan semua rakyat saya menerima peruntukkan MRP ini dan tiada sesiapa yang tertinggal dan saya akan menjelajah seluruh kawasan saya nanti.

Nyalau turut menambah bahawa peruntukan MRP ini secara tidak langsung membuktikan komitmen kerajaan BN menaik taraf hidup rakyat luar bandar.

Turut hadir dalam majlis itu JASA Parlimen Lubok Antu Jeffery Maba Ricky Maba, Pembantu Kebajikan Masyarakat Kanan Daerah Lubok Antu Geoffery Unding, wakil Ketua Polis Daerah Lubok Antu Inspektor Robert dan ketua kaum sekitar Lubok Antu.