Bersatu pertahan kemerdekaan negara

0

NALURI KEIBUAN: Fatimah menghulurkan tanglung untuk memujuk Hii Ling Yim, 3, yang merajuk kerana ditegur bapanya Hii Tung Kee (terlindung) semasa menghadiri Majlis Makan Malam sempena Pesta Kuih Bulan di Stadium Perpaduan, di Dalat malam kelmarin.

Jangan benarkan sesiapa pun menggugat kemerdekaan negara, tegas Fatimah

DALAT: Jangan membenarkan sesiapa pun menggugat kemerdekaan negara, tegas Menteri di Pejabat Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Datin Fatimah Abdullah.

Menurut beliau, pengajaran di sebalik sejarah penganjuran Pesta Kuih Bulan perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini dalam mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi sekarang.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam sempena Pesta Kuih Bulan anjuran Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hua di Stadium Perpaduan, di sini pada malam kelmarin.

“China pernah dijajah Mongol yang membentuk Dinasti Yuan. Seperti kita, orang Cina tidak suka dijajah sehingga mereka berazam untuk membebaskan diri daripada cengkaman pemerintahan Mongol.

“Bagaimanapun, mereka sukar bersatu kerana diharamkan berhimpun. Menyedari orang Mongol tidak sukakan kuih bulan, maka Liu Bowen dari Wilayah Zhejiang mendapat ilham untuk mencetuskan elemen perpaduan,” jelasnya.

Fatimah memberitahu bahawa Liu meminta kebenaran daripada pemerintah Mongol untuk mengagihkan ribuan kuih bulan kepada warga Cina dengan alasan memohon restu agar maharaja zalim itu dipanjangkan usia.

“Sejurus mendapat kebenaran, Liu pun mengedarkan beribu-ribu kuih bulan dengan selitan nota berbunyi ‘hapuskan Mongol pada 15 hari bulan lapan’ yang menyatukan para pemberontak semasa malam perayaan.

“Mereka bersatu menyerang Dinasti Yuan dari segenap sudut sehingga bebas daripada penjajahan. Sejak itu, Pesta Kuih Bulan dirai. Sejarah ini membuktikan hanya perpaduan yang mampu menjadikan kita kuat,” tambahnya.

Hadir sama, Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo, Penolong Pegawai Pentadbir Pejabat Daerah Dalat Abdul Malek Hashim, Ketua Polis Daerah Dalat DSP Martin Kho serta pengerusi penganjur Lee Ee Hong.

Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Chin Hua Penghulu Ling Chee Kiew, Guru Besar SJKC Chin Hua Ong Hock Ann dan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dalat Yong King Chew turut hadir.