Dewa ditabalkan Raja Sungai

0

RAJA SUNGAI SARAWAK 2011: Tun Salahuddin menyampaikan piala Raja Sungai kepada Saperi sambil disaksikan yang lain di Kuching semalam.

Perahu Wangsamas melakar kejutan pada acara kemuncak Regata Sarawak 2011

KUCHING: Perahu Wangsamas dari pasukan Dewa ditabalkan sebagai Raja Sungai Sarawak 2011 setelah mereka berjaya menjuarai acara kemuncak Regata Sarawak 2011, Bidar 30 Pekayuh di Tebingan Kuching, di sini petang semalam (Ahad).

Kejayaan itu membolehkan pasukan terbabit merangkul Piala Pusingan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, sebuah trofi dan wang tunai sebanyak RM3,500.

Naib juara bagi acara kemuncak berkenaan yang turut disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin itu dimenangi oleh perahu Jang A (Kuda Hitam) sekali gus meraih sebuah trofi dan wang tunai RM3,000.

Tempat ketiga ialah perahu Puteri Dang Balai yang berjaya merangkul sebuah piala dan wang tunai RM2,500. Keempat dan kelima masing-masing disandang Zecon Sri Urai dan Pusaka Satu.

Pengurus pasukan Dewa (Wangsamas), Saperi Rambli menzahirkan rasa gembira di atas kejayaan pasukannya yang dianggap ‘underdog’.

“Kejayaan ini merupakan satu matlamat yang menjadi impian semua pasukan yang bersaing dalam Regata Sarawak ini. Justeru, kami telah mencapai matlamat itu dan saya anggap kejayaan ini tidak diduga sama sekali,” kata Saperi yang ditemui pemberita selepas saingan akhir perebutan Raja Sungai semalam.

Saperi menarik perhatian bahawa para pekayuhnya terdiri daripada penduduk kampung Seberang Hilir dan juga dari Sambas telah membuktikan kewibawaan mereka masing-masing.

Katanya, para pekayuh telah mempelajari teknik dan kebolehan masing-masing dan membuktikan kesungguhan untuk merangkul kejuaraan yang diidam-idamkan.

“Kejayaan ini sungguh bermakna buat Dewa kerana berjaya memecahkan tradisi kejuaraan Raja Sungai yang acapkalinya didominasi Landas, Pusaka dan Zecon,” katanya sambil memberitahu bahawa kejayaan itu adalah untuk arwah adiknya, Samsuddin Rambli yang telah meninggal dunia musim Regata Sarawak 2009.

Hadiah bagi Raja Sungai disampaikan oleh Tun Salahuddin. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Tugas-Tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohd Morshidi Gani.

Sehubungan itu, dalam saingan acara akhir Bidar 30 Pekayuh merebut Piala Pelancongan (Hotel) juara dimenangi perahu Crystal Inn (Sri Aman), naib juara Hoover Hotel Sri Aman, ketiga Jang Merdeka Palace dan keempat Pusaka Dua (Grand Margherita).

Bagi acara akhir Kenyalang 20 Pekayuh (IPT), juara disandang oleh Swinburne New Pirates, naib juara IKMK Warrior dan ketiga UITM Sarawak.