Program alam sekitar diperluas, kata Ismail

0

PERUNTUKAN: Jelaing menyerahkan cek program Rakan Alam Sekitar kepada salah sebuah sekolah yang terpilih sambil disaksikan oleh Ismail (dua kanan) serta tetamu kehormat lain.

Sekolah terpilih program RAS akan sedia kertas cadangan pelaksanaan projek berasaskan alam sekitar

SARATOK: Sekolah yang terpilih dalam program Rakan Alam Sekitar (RAS) akan menyediakan kertas cadangan pelaksanaan projek-projek yang berasaskan alam sekitar.

Pegawai Perhubungan Awam Kanan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak  merangkap wakil Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Ismail Yussuf berkata, semua ini dipergiatkan sebagai salah satu langkah untuk menanggani isu alam sekitar yang sedang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

“Antara isu yang menjadi perdebatan dunia masa kini ialah seperti masalah perubahan cuaca, pembakaran terbuka yang tidak terkawal, pencemaran sungai, gejala tanah runtuh dan banyak lagi isu yang lain.

“Peningkatan masalah ini sejak kebelakangan ini telah menimbulkan kerisauan kepada masyarakat dunia dan kami  merasakan adalah sangat wajar langkah-langkah pemuliharan alam sekitar dipergiatkan dengan lebih serius pada masa kini agar kualiti alam sekitar di negara kita dapat dijaga dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” kata Ismail.

Tambahnya, pada tahun ini NREB telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program RAS di tujuh kawasan Parlimen iaitu Serian, Lubok Antu, Saratok, Sarikei, Kapit, Baram dan Sri Aman.

Beliau berkata demikian pada ucapan alu-aluannya pada program RAS yang di Rumah Sidah Peng, Sungai Sebetan Saratok, pada pagi kelmarin.

Progam RAS tersebut juga telah melibatkan penyertaan daripada empat sekolah di Parlimen Saratok di bawah Program Flagship Sekolah Lestari iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok, SMK Kabong, Sekolah Kebangsaan (SK) St Peter dan SK Abang Moh.

Menurut Ismail, kesemua isu berkaitan masalah alam sekitar tidak akan mampu dibendung sekiranya semua pihak meletakkannya pada tanggungjawab satu pihak sahaja.

“Usaha sama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat memainkan peranan yang amat penting dalam usaha meningkatkan kualiti alam sekitar di negara kita, di samping mencegah aktiviti pencemaran yang dilakukan oleh manusia sendiri.

“Saya merasakan masa ini adalah paling tepat untuk kita menggerakkan program seumpamanya terutama dalam menyemai semangat cintakan alam sekitar, bermula dari peringkat akar umbi dan seterusnya dapat mengekalkan keindahan alam sekitar untuk dirasai bersama oleh generasi-generasi akan datang,” ujarnya.

Program tersebut turut diserikan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran rumah panjang terbabit yang melibatkan penyertaan daripada pelajar sekolah dan penduduk kampung.

Empat sekolah yang telah terpilih menyertai program RAS turut menerima cek RAS  bernilai RM5,000 bagi setiap sekolah.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Saratok Jelaing Mersat.

Turut hadir wakil Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak Sham Izuddi Mat Hussin, Pegawai Tadbir Saratok Laga Kuek, wakil Pegawai Daerah Saratok Rengin Jamang serta sekitar 200 orang masyarakat setempat.