Wednesday, April 14

Suasana pilu sambut mayat datuk dan cucu mangsa letupan bom

0

IKHLAS: Fatmi (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Wong (tengah) mangsa letupan bom di Sungai Golok, yang kehilangan anaknya, Wong Kai Sean, 3 dan bapanya, Wong Hong Yep, 64, di Jalan Sultan Zainal Abidin di Kota Bharu, semalam. — Gambar Bernama

KOTA BAHARU: Suasana pilu semalam menyelubungi keluarga mendiang Wong Hon Yep, dan cucunya, Wong Kai Sean, yang trkorban dalam insiden bom di Sungai Golok, Selatan Thailand kelmarin apabila mayat kedua-dua mangsa dibawa pulang ke sini, malam kelmarin.

Mayat Wong, 64, dan cucunya Kai Sean, 3, tiba kira-kira pada jam 10 malam kelmarin selepas proses bedah siasat yang diadakan di Hospital Sungai Golok itu selesai.

Mayat Kai Sean telah selamat dibakar di sebuah krematorium di Bachok pada pagi semalam dan abunya disimpan di sebuah tokong di Ketereh.

Mayat datuknya itu pula kini diletakkan di rumah ibadat Persatuan Buddha Kelantan di Jalan Zainal Abidin di sini bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Cina, Bukit Cina, Kok Lanas dekat sini, petang ini.

Anak Wong, Wong Wai Seong, 33, ketika ditemui di rumah ibadat itu dilihat sebak dan sukar untuk meluahkan perasaannya.

Wong Wai Seong juga cedera di bahagian kaki dan telinga kanannya, dan kini sukar mendengar akibat letupan bom yang membunuh bapa dan anak sulungnya itu.

Beliau yang ditemani Ketua MCA Kota Baharu, Tan Ken Ten menunjukkan telinga kanannya yang mengalami masalah itu dan enggan ditemui pemberita.

Turut melawat mayat mendiang Wong, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Mohd Fatmi Che Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, tiga letupan bom telah menggegarkan satu kawasan di Sungai Golok yang terkenal dengan industri hiburan itu.

Lima dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu dengan empat daripadanya adalah rakyat Malaysia manakala 60 orang lagi termasuk 19 daripadanya juga rakyat Malaysia telah cedera.

Mereka yang terbunuh itu selain datuk dan cucu berkenaan adalah Foong Too Keh, 45, dari Pahang dan Chan Yau Wing, 52, yang dilaporkan berasal dari Kelantan.

Seorang lagi yang terbunuh adalah rakyat Thailand yang ketika itu sedang membantu mangsa letupan bom berkenaan.

Ketika kejadian Wong Wai Seong, isterinya rakyat Thailand, Ang Ya Rat, 35, bersama mendiang bapa dan anaknya itu sedang menjamu selera di lokasi kejadian. — Bernama