Tuesday, August 16

Bayi enam bulan perlu bantuan bedah jantung

0

PERLU BANTUAN: Asyraaf perlu dihantar ke Kuala Lumpur dengan segera untuk pembedahan jantung.

Keluarga Asyraaf Danial perlukan RM20,000 untuk membiayai kos rawatan di ibu negara

KUCHING: Dia seorang pemberita sambilan dengan berita yang ditulis kebanyakannya mengenai mereka yang kurang berkemampuan.

Malah dia juga pernah menulis mengenai kanak-kanak yang menghidap sakit jantung dan turut serta membantu mengadakan kutipan kilat dalam satu majlis makan malam untuk membantu kanak-kanak terbabit.

Dalam dia menulis berita mengenai kesusahan orang lain, tiba-tiba cucu Mohamat Yusuf atau nama penanya, A. Mohayu yang baru lahir, telah disahkan oleh pihak hospital, mengalami sakit jantung.

Cucunya, Asyraaf Danial yang berusia hampir enam bulan, selain mempunyai masalah jantung turut mengalami masalah paru-paru.

Asyraaf juga menghadapi masalah apabila menyusu tidak seperti bayi lain. Sewaktu menyusu, apabila dia batuk susu itu akan dimuntahkan kemudian menangis pada masa yang sama  wajahnya kelihatan  biru.

“Dia juga terpaksa menggunakan tiub melalui hidungnya untuk membolehkannya menyusu, keadaan ini bukan sahaja menyukarkan dia, malah turut menghibakan kami sekeluarga,” jelas Mohamat.

Doktor yang merawat Asyraaf menasihatkan keluarga berkenaan membawa Asyraaf ke Kuala Lumpur untuk dibedah secepat mungkin di Gleneagles Medical Centre, Jalan Ampang.

Namun, ia bukan semudah yang dikatakan kerana keluarga Asyraaf perlu menyediakan kos pembedahan berjumlah RM20,000.

Menurut Mohamat, doktor berkenaan telah pun memberi tempoh selama dua bulan supaya bayi itu menjalani pembedahan, kira-kira sebulan lepas dan kini hanya tinggal  beberapa minggu sahaja lagi masa untuk bayi berkenaan sepatutnya menerima rawatan.

“Bukan tidak mahu menghantar, tetapi kami memerlukan wang untuk membiayai kos pembedahan itu. Untuk mendapatkan wang sebanyak RM20,000 dalam masa yang singkat bukan perkara mudah.

“Ayah dan ibunya bekerja di syarikat swasta dengan pendapatan mereka agak kurang, tidak mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu,” kata Mohamat lagi ketika ditemui Utusan Borneo di kediamannya di Kampung Rampangi, di sini, semalam.

Mohamat memberitahu keluarga mereka juga meminta bantuan daripada keluarga yang lain untuk membolehkan bayi berkenaan dibawa ke Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, kos untuk menampung perbelanjaan pembedahan itu masih belum mencukupi,” katanya.

Justeru, Mohamat merayu kepada orang ramai untuk menghulurkan bantuan kepada cucunya, Asyraaf untuk membolehkan dia dibawa  segera bagi menjalani pembedahan jantung.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah berbuat demikian  menerusi bapa Asyraaf, Abdul Amil Mohamat, dengan nombor akaun CIMB Bank 11150009038526.

Bagi mereka yang ingin mengetajui lebih lanjut mengenai Asyraaf bolehlah menghubungi Mohamat Yusuf di talian 016-8160474.