Tuesday, August 16

Majlis potong Kek 1Malaysia terpanjang, acara kemuncak Hari M’sia di Marudi

0

MARUDI: Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu, masyarakat di Pekan Marudi turut tidak ketinggalan untuk sama-sama meraikan sambutan bersejarah itu dengan penuh semangat patriotik melalui penganjuran pelbagai aktiviti.

Antara aktiviti yang dilangsungkan ialah Larian Obor 1Malaysia, Pertandingan Basikal Berhias, senam robik beramai-ramai oleh para kenamaan, agensi kerajaan dan persatuan-persatuan di sini.

Antara yang turut serta dalam acara senam robik yang telah diadakan di Dataran Marudi itu ialah Menteri Muda Bekalan Air yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Sylvester Entri Muran.

Manakala acara kemuncak sambutan Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan peringkat daerah kecil Marudi ialah majlis memotong Kek 1Malaysia yang terpanjang pernah dibuat di sini, yang berukuran 13.5 kaki panjang.

Kek setebal lima inci yang diperbuat daripada tepung gandum dan beras pulut itu turut diwarnai dengan corak dan warna-warna Jalur Gemilang.

Ia juga turut menggunakan 80 biji buah kelapa dan 40 kilogram beras pulut dan mengambil masa selama sehari semalam untuk membuatnya. Kerja-kerja membuat Kek 1Malaysia ini telah dijayakan oleh ahli-ahli Wanita KIM.

Dalam pada itu Entri memberitahu bahawa aktiviti-aktiviti yang dianjurkan, walaupun tidak sebesar namun boleh menerapkan nilai-nilai kebudayaan rakyat Malaysia dan menyemai semangat patriotik agar penduduk mengetahui maksud kemerderkaan.

“Pada masa yang sama, tujuan kita ialah untuk menyemai dan meningkatkan semangat patriotik di kalangan generasi muda di sini,” tambah beliau.

Sementara itu, dalam pertandingan Larian Obor 1Malaysia pula, kategori lelaki yang disertai sebanyak 18 pasukan telah dimenangi oleh pasukan SMK Marudi, kedua ialah Pasukan Baram Mania 2 dan ketiga ialah JKKK Kampung Pemindahan Cina.

Bagi kategori wanita, sebanyak tujuh pasukan mengambil bahagian dengan johan dimenangi SMK Marudi, kedua ialah pasukan Hotsexy Girl.com.