Kedah tingkatkan peruntukan bagi R&D dalam Bajet 2012

0

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan meningkatkan peruntukan bagi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam bidang pertanian melalui Bajet 2012 yang akan dibentang tidak lama lagi.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, perkara itu amat relevan memandangkan sektor pertanian di negeri ini amat penting dan memerlukan kaji selidik secara berterusan agar dapat meningkatkan hasil pertanian yang tinggi pada masa akan datang.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menghantar beberapa anggota jawatankuasa daripada Kumpulan Ladang Sdn Bhd (anak syarikat kerajaan negeri) ke Taiwan Ahad lepas agar mereka belajar mengenai sistem teknologi pertanian di negara itu dan mempraktikkannya kepada petani di negeri ini nanti.

“Di Amerika mereka tidak bergantung makanan dari negara lain kerana hasil pertanian yang dikeluarkan hanya untuk keperluan rakyat negara itu sendiri malah mereka juga turut mengeluarkan mesin berteknologi tinggi untuk kegunaan petani di negara itu sendiri,” katanya pada perasmian Hari Peladang Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kedah di sini semalam.

Hari Peladang Penternak dan Nelayan yang berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman di sini bermula semalam hingga 26 September, bertemakan ‘Pertanian Berteknologi Tinggi Asas Kesejahteraan Rakyat’.

Mengulas mengenai tin-dakan syarikat feri penumpang di Langkawi yang menarik balik harga tiket istimewa bagi penduduk Langkawi yang ke tanah besar atau sebaliknya pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad, cuti umum dan cuti sekolah, Azizan berkata: “Kerajaan negeri hanya menyediakan tempat dan tidak terlibat dalam soal ini.

“Saya akan minta exco pengangkutan mengkaji me-ngenai isu itu dan berbincang dengan kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya. — Bernama