Orang Asli di Negeri Sembilan bakal terima pendapatan bulanan RM1,500

0

SEREMBAN: Kaum Orang Asli di Negeri Sembilan bakal menerima pendapatan bulanan kira-kira RM1,500 menerusi pegangan saham mereka dalam estet getah dan kelapa sawit di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dapat dilakukan menerusi penukaran status tanah kepada tanah rizab Orang Asli yang dilaksana secara bersama oleh kerajaan negeri dan pusat sekarang.

“Setakat ini kita sudah beri kepada 13 buah kampung melalui 200 hektar tanah di Johol yang ditukar menjadi tanah rizab Orang Asli,” kata-nya selepas mesyuarat Exco, di sini semalam.

Semua tanah terbabit akan dibangunkan untuk tanaman getah dan kelapa sawit oleh RISDA dan FELCRA, manakala setiap keluarga Orang Asli berkenaan menerima nilai saham yang setara dengan lima ekar tanah, katanya.

“Selepas tolak belanja peng-urusan, saham-saham ini akan memberi pendapatan berjumlah RM1,500 sebulan kepada setiap keluarga Orang Asli,” katanya.

Mohamad berkata, terdapat 68 buah kampung Orang Asli berdaftar dengan kerajaan negeri.

“Bagi kampung yang tidak mempunyai keluasan tanah mencukupi, ini tidak menjadi masalah kerana penduduk di kampung terbabit akan memiliki pegangan saham di kampung lain yang mempunyai tanah lebih luas dan maju sebagai sebuah mini estet,” katanya. — Bernama